EHSAN Mart menawarkan enam lagi barang keperluan dengan harga antara 15 hingga 20 peratus lebih rendah dari pasaran.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Ir Izham Hashim berkata, ia menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 12 barangan.
Menurutnya, tambahan enam barangan tersebut ialah lampin pakai buang, tepung, sardin, sabun basuh, bihun serta biskut.
"Bermula tahun ini, Jualan Ehsan Rahmah (JER) bersetuju menambah enam lagi produk kepada 12 barangan.
"Sebelum ini, barangan ditawarkan ialah ayam, telur, minyak masak, daging, ikan dan beras dan ditambah enam lagi barangan lain pada tahun ini.
"Kesemua barangan ini dtawarkan dengan harga lebih rendah antara 15 hingga 20 peratus daripada pasaran," katanya pada pembukaan pasar raya kedua Ehsan Mart di Pandan Utama, Pandan Indah di sini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Datuk Wira Dr Mohamad Khairil Mohd Razi dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Dr Ani Ahmad.
Izham berkata, Ehsan Mart bukan sahaja membantu rakyat menghadapi cabaran ekonomi global tidak menentu tetapi turut berfungsi sebagai pusat agihan makanan bagi menghadapi situasi kecemasan.
Katanya, pihaknya menyasarkan sepuluh lagi cawangan Ehsan Mart akan dibuka secara berperingkat sehingga hujung tahun ini.
"Ehsan Mart pertama dibuka di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua disusuli cawangan kedua di Pandan Indah di sini.
"Ehsan Mart merupakan usahasama antara PKPS dengan Sri Ternak bagi menyokong program JER.
"Ia turut berperanan sebagai hub penyimpanan bagi Gudang Makanan Selangor memastikan kelancaran rantaian bekalan makanan di Selangor," katanya.
Tambahnya, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM30 juta untuk program JER termasuk subsidi dan Gudang Makanan Selangor.
"Tahun lalu program JER memperuntukkan subsidi sebanyak RM12 juta subsidi yang memberi manfaat kepada lebih 4.5 juta rakyat Selangor melalui lebih 1,200 lokasi penjualan.
"Tahun ini angka tersebut dianggarkan sekitar RM15 juta dan akan ditambah mengikut keperluan," katanya.