PUTRAJAYA - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menawarkan kompaun khas dengan kadar rata RM150 bermula Khamis bagi tiga kesalahan, antaranya membabitkan had laju.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, ia melibatkan tiga jenis notis saman JPJ iaitu Saman Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS) (Saman 53A); Notis Temu Siasat (114) dan Notis Saman Tampal/JPJ(P)23 (115).
"Biasanya kompaun bagi ketiga-tiga kesalahan ini ialah RM300. Jadi kita beri satu kadar kompaun khas bermula esok, 3 Januari, bagi tempoh selama enam bulan supaya mereka (pesalah trafik) dapat menyelesaikan kompaun ini.
"Sekiranya ia tidak diselesaikan juga, mereka tidak boleh perbaharui lesen memandu atau lesen kenderaan," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Pejabat Baharu JPJ Putrajaya, di sini pada Khamis.
Dalam pada itu Anthony menjelaskan, pembayaran saman berkenaan boleh dilakukan melalui pelbagai saluran antaranya hadir ke kaunter JPJ, kaunter bergerak serta aplikasi myJPJ.
Namun menurutnya, pembayaran tersebut tidak boleh dilakukan melalui platform dalam talian MyEG dan Pos Malaysia.
"Pengumpulan mata demerit akan dihentikan sementara mulai esok (Jumaat) hingga 30 Jun depan.
"Dalam tempoh itu, penguat kuasa JPJ akan menjalankan kajian semula terhadap kaedah pelaksanaan Sistem Mata Demerit," jelasnya.
Sementara itu beliau turut memaklumkan, JPJ membuka bidaan bagi nombor pendaftaran istimewa (NPI) iaitu siri Putrajaya FG sempena pembukaan cawangan pejabat baharu JPJ di Bangunan Komersial PJH Presint 4.
Menurutnya, bidaan tersebut akan dibuka mulai Khamis melalui Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian (JPJeBid) sehingga Isnin depan.
"Langkah ini bukan sahaja menambah hasil JPJ, tetapi membuka peluang kepada orang ramai memiliki nombor istimewa pada kenderaan mereka," ujarnya.