25 calon SPM di Selangor duduki peperiksaan di hospital, dua di penjara

Iklan
Pengarah Pendidikan Negeri Selangor, Dr Jafri Abu (tengah) semasa sidang media selepas melakukan tinjauan pada hari pertama peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia 2024 di Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 9 pada Khamis. Foto Bernama

SHAH ALAM - Sebanyak 25 calon daripada 73,899 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 di Selangor menduduki peperiksaan bertulis di hospital, kata Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Dr Jafri Abu.

Beliau berkata, sebanyak dua lagi calon menduduki peperiksaan itu di penjara.

Iklan
Iklan

"Setakat pagi ini, kita menerima maklumat sebanyak 25 calon yang berada di hospital di daerah-daerah dan dua calon (mengambil peperiksaan) di penjara.

"Dalam apa keadaan sekalipun kita uruskan yang terbaik dan memberi ruang serta peluang untuk mereka menduduki peperiksaan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau hari pertama peperiksaan bertulis SPM 2024 di Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 9 di sini pada Khamis.

Iklan

Sebanyak 494 pusat peperiksaan dibuka dengan kira-kira 7,651 petugas mengendalikan peperiksaan itu di negeri ini.

Jafri berkata, kesemua pusat peperiksaan di Selangor bebas banjir, namun pihaknya tetap bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

"Setakat ini di Selangor semua dalam keadaan baik, tiada sekolah atau pusat peperiksaan yang terbabit dengan banjir dan tidak berada dalam kawasan berisiko banjir,” katanya.

Iklan

Lebih 400,000 calon SPM 2024 yang mendaftar bagi menduduki ujian bertulis memulakan hari pertama peperiksaan itu di 3,000 pusat peperiksaan di seluruh negara, bermula hari ini hingga 6 Februari depan.- Bernama