PASIR MAS - Semangat untuk menjawab peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak luntur bagi 48 calon dari Sekolah Menengah Ugama Arab (SMUA) Al-Falah di sini biarpun sekolah mereka masih digenangi banjir.
Bagi mereka, peperiksaan bertulis SPM yang bermula hari ini dijalani dalam keadaan biasa seperti mana sekolah-sekolah lain dan tidak menjejaskan tumpuan mereka untuk menjawab soalan.
Calon SPM, Nurul Asma Muhd Razali, 17, berkata, banjir tidak mengganggu emosinya kerana kawasan itu dinaiki air setiap tahun.
"Lagipun menjalani peperiksaan di sekolah sendiri rasanya lebih selesa berbanding ke sekolah lain," katanya ketika ditemui Bernama di sekolah berkenaan.
Nurul Asma berkata, cuaca cerah sejak beberapa hari lepas turut memberi kelegaan kepadanya kerana paras air di sekolah semakin menurun.
Bagaimanapun, anak bongsu daripada 11 beradik itu menyatakan dia bersama calon lain sebelum ini menduduki ujian mendengar di sekolah lain berikutan paras air di sekolah mereka lebih satu meter.
Seorang lagi calon peperiksaan itu, Khairul Anuar Hamad berkata, banjir tidak menyebabkannya hilang fokus untuk menduduki SPM hari ini.
Baginya apa yang penting adalah persediaan awal untuk menduduki SPM telah dilakukan sebaik mungkin sebelum ini.
"Paras air di sekolah sudah semakin surut dan ada titi yang disediakan guru untuk ke dewan peperiksaan," katanya.
Di Kelantan, SMUA Al-Falah adalah salah satu dari dua pusat peperiksaan yang masih digenangi banjir selain SMUA Diniah yang menempatkan 16 pelajar.- Bernama