GEORGE TOWN - Proses pengambilan tanah bagi membina laluan Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara berjalan lancar tanpa sebarang masalah dan isu berbangkit.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pengambilan tanah tersebut membabitkan tanah milikan kerajaan negeri, persendirian, pihak berkuasa tempatan dan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).
Menurutnya, pelbagai mesyuarat telah dijalankan antara kerajaan negeri dengan Kementerian Pengangkutan (MOT), pemaju dan pemilik aset, MRT Corp serta beberapa pihak yang terbabit.
"Banyak mesyuarat telah dibuat sejak berbulan-bulan lalu bagi membincangkan beberapa butiran projek antaranya pengambilan tanah, depoh dan stesen (LRT).
"Kerajaan negeri memang sentiasa bekerjasama dengan kerajaan Pusat bagi memastikan projek ini berjalan lancar tanpa sebarang masalah. Terbaru, esok (Jumaat) kita ada lagi mesyuarat bersama MOT untuk membincangkan lagi beberapa perkara.
"Daripada segi pengambilan tanah, isu ini telah dibawa ke mesyuarat Exco dan tiada masalah berbangkit, tiada isu," katanya pada sidang akhbar di Komtar pada Khamis.
Sebelum ini, Jemaah Menteri telah meluluskan cadangan pembangunan Projek LRT Laluan Mutiara Pulau Pinang pada Mac tahun lalu yang dijangka siap pada 2030
Projek LRT tersebut mempunyai jarak jajaran dianggarkan kira-kira 29 kilometer dengan 20 stesen termasuk dua stesen pertukaran iaitu di Stesen Komtar dan Stesen Penang Sentral itu.
Kerajaan Pusat telah memutuskan untuk melantik MRT Corp, syarikat 100 peratus milik Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc), sebagai pemaju dan pemilik aset untuk projek tersebut.
Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, kerja-kerja infrastruktur untuk projek mega itu mungkin akan dilaksanakan serentak dengan projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAAP) bagi mengurangkan kesulitan kepada orang awam.
Menurutnya, maklumat terkini yang diterimanya mengenai kedua-dua projek itu adalah pemilik projek untuk pengembangan PIA dan LRT Laluan Mutiara sedang berbincang untuk bekerjasama.
"Pembinaan jajaran LRT boleh berlaku serentak dengan pembesaran LTAPP supaya mereka dapat menjimatkan masa dan mengurangkan kesulitan.
"Kedua-dua pemilik projek perlu bekerjasama untuk menyelaraskan jadual kerja mereka," katanya.
Tambah Kon Yeow berkata, satu stesen LRT akan dibina kira-kira 200 meter dari LTAPP.
"Ia akan terletak di antara Mitsui Outlet Mall dan tempat letak kereta LTAPP tetapi lebih dekat ke bahagian lapangan terbang. Mitsui Outlet Mall sebelum ini dicadangkan akan dibina bersebelahan dengan lapangan terbang.
"Kedua-dua projek tersebut adalah di bawah bidang kuasa Persekutuan yang mana pemilik projek LRT Laluan Mutiara ialah MRT Corporation manakala pembesaran LTAPP dilaksanakan oleh Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB)," jelasnya lagi.
Kata Kon Yeow, kerajaan negeri mempunyai maklumat terhad mengenai projek-projek tersebut memandangkan ia dimiliki oleh kerajaan Persekutuan.
"Kerja-kerja awalan sivil dan struktur untuk Projek LRT Laluan Mutiara dijangka bermula tidak lama lagi apabila SRS Consortium telah dijemput sebagai tender terpilih untuk komponen projek tersebut.
"SRS Consortium merupakan kontraktor untuk kerja-kerja sivil dan struktur bagi komponen pertama segmen pertama dari Pulau Silikon ke Komtar," katanya.
Majlis pecah tanah untuk Projek LRT Laluan Mutiara dijangka akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 11 Januari nanti.