Gambar bersih sampah 2025 isyarat jelas PM mahu 'cuci' rasuah ke akar umbi

Iklan
Anwar berkongsi gambar beliau membersihkan rumah sempena ketibaan tahun baharu 2025 di Facebook beliau pada Rabu.

SHAH ALAM - Gambar sedang membersihkan rumah sempena ketibaan tahun baharu yang dikongsi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Facebook beliau diharap memberi isyarat naratifnya untuk membersihkan Malaysia daripada barah rasuah hingga ke akar umbi.

Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, oleh itu kerajaan harus melakukan perubahan besar yang bersifat struktural termasuklah melaksanakan agenda reformasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan memberi kebebasan di samping kebertanggungjawaban dan akauntabiliti yang tinggi buat mereka yang mengepalai badan tersebut.

Iklan
Iklan

"Untuk reformasi SPRM, perlu untuk diangkat martabat Parlimen sebagai salah satu organ rasmi negara. Maka, pada tahun ini wajib bagi kerajaan bentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Perkhidmatan Parlimen.

"Menerusi RUU ini, ia memberi autonomi termasuk melalui bajet khas untuk Parlimen menubuhkan jawatankuasa tetap bagi menyemak dan mencalonkan mereka yang akan memimpin institusi penting seperti SPRM, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan sebagainya,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Iklan

Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun pada Rabu berkongsi gambarnya sedang membersihkan rumah sempena ketibaan tahun 2025.

Muhammad Faisal menegaskan, selain itu kerajaan harus membentangkan RUU untuk pemisahan bidang kuasa peguam negara dan pendakwa raya pada tahun ini kerana ia akan mengembalikan keyakinan rakyat kepada usaha kerajaan untuk membanteras amalan rasuah khususnya melibatkan pemimpin politik.

Iklan

"Akhir sekali, Bersih menuntut komitmen Perdana Menteri untuk meningkatkan gred ‘D’ yang diberikan Bersih kepada ‘gred A’ bagi prestasi pentadbiran kerajaan Madani dengan memulakan pelaksanaan agenda yang dinyatakan,” ujarnya.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Badlishah Sham Baharin turut yakin Perdana Menteri konsisten dengan fokusnya terhadap pembasmian rasuah dan akan terus membersihkan negara daripada rasuah sepanjang 2025.

Senada dengan Muhammad Faisal, Badlishah menegaskan, reformasi yang dicadangkan oleh masyarakat sivil seperti pemisahan kuasa antara pendakwa raya dan peguam negara perlu disegerakan.

Kata beliau, ia agar wujud ketelusan dan akauntabiliti dalam pendakwaan terutama yang melibatkan individu ternama dan berpangkat tinggi serta tidak dicemari oleh pengaruh mana-mana pihak.

"Di samping itu akta pendanaan politik, akta kebebasan maklumat dan akta perolehan kerajaan yang boleh membantu tatakelola baik di dalam pendanaan ahli politik serta pengurusan kerajaan perlu diusahakan dengan segera supaya masalah rasuah dapat dibendung dalam proses pengurusan atau tatakelola ini.

"Rasuah juga telah menjadi sistemik dalam projek-projek mega. Berikutan itu perlu ada jawatankuasa penyelia di Parlimen yang memantau perjalanan projek seperti ini dan membuat laporan jika berlaku sesuatu yang tidak kena atau tidak memenuhi spesifikasi projek,” syornya.