IPOH - MIC akan mengambil bahagian di dalam perhimpunan solidariti untuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dijadual diadakan pada 6 Januari ini.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri M Saravanan yang mengesahkan perkara itu berkata, kehadiran wakil MIC dalam perhimpunan tersebut sebagai penghormatan buat Najib yang disifatkan sebagai pemimpin yang banyak berjasa kepada masyarakat dan negara.
Menurutnya, bukan sahaja MIC, himpunan tersebut dijangka dihadiri oleh ahli-ahli parti politik yang lain termasuklah pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
"Perhimpunan solidariti untuk Datuk Seri Najib Razak pada 6 Januari ini bukan berunsur politik. Ia melangkaui segala batas politik kepartian. Ia adalah sebagai penghormatan kepada pemimpin yang banyak berjasa kepada masyarakat dan negara.
"Ribuan ahli-ahli MIC akan turut mengambil bahagian bersama pelbagai parti dan NGO," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sebelum ini, tular satu memo menyatakan Pas akan mengadakan himpunan Solidariti Bersama Najib Razak Menuntut Keadilan pada 6 Januari ini.
Berdasarkan memo itu, himpunan akan diadakan di Mahkamah Rayuan, Istana Kehakiman Putrajaya, pada jam 9 pagi.
Malah Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan bahawa parti itu menggalakkan ahlinya menyertai himpunan yang dijadual berlangsung di Istana Kehakiman, Putrajaya itu.
Himpunan tersebut juga turut mendapat perhatian Pengerusi DAP, Lim Guan Eng Guan Eng yang mengingatkan UMNO bahawa sebarang program bersama parti pembangkang khususnya Pas akan menimbulkan keraguan mengenai kestabilan politik dan kedudukan parti itu dalam Kerajaan Perpaduan.
Ia termasuk perhimpunan solidariti atau demonstrasi terutama himpunan aman tanda solidariti kepada Najib pada Isnin ini.
Media melaporkan bahawa Mahkamah Rayuan menetapkan 6 Januari depan untuk mendengar rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan Titah Adendum.
Mahkamah Tinggi sebelum ini menolak kebenaran semakan kehakiman dan notis usul yang difailkan oleh bekas bekas perdana menteri itu untuk mengemukakan keterangan tambahan berkaitan Titah Adendum yang dikatakan dikeluarkan Agong terdahulu berhubung tahanan rumah.