Tukang rumah dihempap tiang yang dibina

Iklan
Seorang tukang membuat rumah cedera selepas struktur tiang rumah yang dibinanya runtuh dalam kejadian di Kampung Tanjung Giuk, Bongawan, di sini pada Khamis.

PAPAR - Seorang tukang membuat rumah cedera selepas struktur tiang rumah yang dibinanya runtuh dalam kejadian di Kampung Tanjung Giuk, Bongawan, di sini pada Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.50 pagi itu, mangsa lelaki berusia 24 tahun dihantar ke hospital oleh orang awam untuk rawatan lanjut.

Iklan
Iklan

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis, Mohd Johainin Ruslan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 10.56 pagi.

Menurutnya, seramai lima anggota dikejar ke lokasi yang terletak sejauh lapan kilometer dari BBP Kimanis.

Iklan

"Sebaik tiba, sebuah rumah separuh siap dibina didapati telah roboh di bahagian tiang rumah dan terdapat seorang mangsa iaitu tukang membuat rumah tersebut mengalami kecederaan.

"Ketika kejadian, mangsa sedang melakukan kerja memasang bata di tiang rumah namun tiba-tiba tiang tersebut roboh dan menyebabkan mangsa cedera," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Iklan

Mohd Johainin berkata, pihaknya kemudian melakukan pemeriksaan di sekitar lokasi kejadian bagi memastikan tiada bahaya lain berlaku dalam runtuhan tersebut.

"Operasi ditamatkan selepas didapati semuanya selamat manakala mangsa telah dihantar ke hospital oleh orang awam," katanya.