KOTA BHARU - Seorang lelaki warga tempatan ditahan di pintu masuk Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) selepas didapati membawa 30 kilogram buah-buahan dari Kemboja tanpa dokumen sah.
Ketua Pintu Masuk Maqis, Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Mohd Ariwadi Mohd Salleh berkata, lelaki berusia 30 tahun itu ditahan pada jam 1.45 petang ketika pemeriksaan rutin bersama Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Iklan
Iklan
Menurut beliau, pemeriksaan lanjut mendapati hasil pertanian iaitu buah nona, limau nipis, jagung dan markisa yang ditemui di dalam beg pakaian yang dibawa itu bernilai RM700.
"Buah-buahan itu tidak mempunyai Permit Import dan Sijil Perakuan dan dipercayai untuk diberikan kepada kenalannya di Malaysia," katanya.
Mohd Ariwadi memberitahu, kesemua barang dagangan itu dirampas untuk tindakan lanjut.
"Kita mengawal kemasukan komoditi pertanian yang berisiko seperti kehadiran serangga perosak dan penyakit yang boleh memberi kesan kepada industri pertanian dan keselamatan makanan negara," katanya.
Perbuatan mengimport produk pertanian tanpa Permit Import dan Sijil Perakuan Pematuhan (CoC) menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 11 (1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum dibawah Seksyen 11(3), Akta sama.