KUALA LUMPUR - Keputusan sama ada jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang bersetuju kekal dalam Program Podium tahun depan atau tidak, dijangka mengambil masa dua minggu lagi untuk diketahui.
Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh berkata, Mohd Azizulhasni masih belum mengesahkan keputusan beliau kepada badan itu dan Majlis Sukan Negara (MSN) setakat hari ini.
"Saya turut diberitahu, minggu depan Datuk Azizulhasni akan pergi menunaikan umrah dan saya percaya jika ada pertemuan, ia akan diadakan selepas beliau kembali. Jadi semuanya KIV (dalam perhatian) hingga lebih kurang dua minggu akan datang," katanya ketika dihubungi.
Sebelum ini, PKBM dan MSN bersetuju untuk mengekalkan juara dunia keirin 2017 itu dalam Program Podium bagi 2025 dan MSN memberi beliau hingga Selasa (31 Disember) lepas, sama seperti atlet kebangsaan lain, untuk mengesahkan minatnya.
Mohd Azizulhasni yang menginjak usia 37 tahun Ahad ini, masih belum membuat sebarang kenyataan berhubung penglibatannya dengan pasukan negara selepas kali terakhir beraksi di Olimpik Paris, Ogos lepas.
Di Paris, penyertaan atlet dengan julukan 'The Pocket Rocketman' itu dibatalkan dalam saringan pertama keirin lelaki kerana memintas derny (pacer motosikal) sebelum derny meninggalkan trek.
Selain gaji bulanan, atlet di bawah Program Podium layak mendapat pelbagai faedah termasuk kemudahan sains sukan, perubatan dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). - Bernama