Pemandu maut, tayar lori pecah

Iklan
Kemalangan dikatakan menyebabkan kesesakan kira-kira lima kilometer.

KULIM – Seorang pemandu lori maut dalam kemalangan apabila tayar kenderaannya pecah menyebabkannya hilang kawalan sebelum bertembung sebuah lori lain di Jalan Titi Karangan-Baling, Kulim, di sini pada Khamis.

Kejadian yang berlaku pada jam 10.30 pagi itu menyebabkan mangsa, Mohd Rosidan Omar, 38, berasal dari Berapit, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Zulkifli Azizan berkata, seorang lagi pemandu lori berusia 41 tahun mengalami kecederaan pada badan dan tangan kanan, telah dihantar ke Hospital Kulim untuk rawatan lanjut.

Menurutnya, kedua-dua mangsa menaiki lori jenis Hino dan bertembung dari arah bertentangan.

Iklan

"Mangsa yang berusia 38 tahun memandu dari arah Desa Aman menghala ke Kulim sementara mangsa yang cedera sedang dalam perjalanan dari arah bertentangan.

Pemandu lori maut dipercayai akibat tayar hadapan pecah menyebabkannya hilang kawalan sehingga bertembung dengan sebuah kenderaan lain.

Iklan

"Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila tayar hadapan sebelah kanan lori pecah menyebabkannya hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum melanggar sebuah lori lain,” katanya.

Kemalangan turut menyebabkan kesesakan sehingga kira-kira lima kilometer.

Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.