Hanya satu kenderaan disita, bukan tujuh - Puspakom

Iklan
Mahmood Razak ketika sidang akhbar di Puspakom di sini pada Khamis.

SHAH ALAM - Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) menafikan terdapat tujuh kenderaan yang disita di cawangan Wangsa Maju menerusi Op Mengejut yang dijalankan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mahmood Razak Bahman berkata, sebaliknya, hanya satu kenderaan yang disita di cawangan berkenaan kerana menggunakan pemandu warga asing tanpa lesen memandu sah.

Iklan
Iklan

"Secara keseluruhannya, hanya satu dan bukan tujuh yang disita JPJ. 104 lagi kenderaan yang disita di Perak pula berada di luar kawasan Puspakom dan belum menjalani pemeriksaan.

"43 cawangan telah diserbu pada Isnin lalu, 42 cawangan pada Selasa manakala setakat jam 2 petang hari ini, dua cawangan diperiksa iaitu di Glenmarie dan Seremban, Negeri Sembilan.

Iklan

"Setakat ini, Puspakom tidak menerima apa-apa saman daripada JPJ sepanjang operasi dijalankan,” katanya ketika sidang akhbar di Puspakom di sini pada Khamis.

Sebelum ini dilaporkan, JPJ mengadakan operasi gempur secara serentak ke semua cawangan Puspakom di seluruh negara bagi memastikan setiap kenderaan diperiksa fasiliti itu mematuhi standard ditetapkan.

Iklan

Mengulas lanjut, Mahmood Razak berkata, seramai empat kakitangan Puspakom cawangan Wangsa Maju telah memberi keterangan kepada JPJ berikutan dipercayai terbabit meluluskan kenderaan tidak selamat.

Menurutnya, dua kakitangan itu yang bertindak meluluskan kenderaan berkenaan manakala selebihnya terlibat menggagalkan pemeriksaan itu.

"Dua orang telah memberi keterangan pada dua hari lalu manakala lagi dua hadir di JPJ Putrajaya pada hari ini dengan ditemani seorang wakil Puspakom. Wakil berkenaan tidak terlibat memberi keterangan kepada JPJ.

"Saya berpuas hati dengan keterangan mereka. Dua kakitangan ini tiada masalah kerja sebelum ini. Saya beri jaminan kalau kakitangan terbabit dengan sebarang kesalahan termasuk unsur rasuah, mereka tidak akan terlepas daripada tindakan tegas.

"Sebelum ini kita akan beri amaran lisan seterusnya amaran bertulis dan jika keterlaluan kita buang,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mahmood Razak berkata, pihaknya telah menyerahkan laporan siasatan kepada Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) berhubung kemalangan melibatkan tayar hadapan sebelah kanan lori jenis Foton yang tercabut di Melaka.

"Laporan ini hanya merangkumi pemeriksaan kenderaan berkenaan manakala tayar yang tertanggal itu tidak dapat diperiksa kerana Puspakom tidak menerima tayar berkenaan,” katanya lagi.