BANDARAYA GAZA - Ketua Polis Gaza dan timbalannya terbunuh dalam serangan udara Israel di bandar selatan Khan Younis pada Khamis, menurut Kementerian Dalam Negeri.
Kementerian Dalam Negeri dalam kenyataan mengesahkan Mahmoud Salah dan timbalannya, Hussam Shahwan maut dalam serangan pada waktu subuh oleh tentera Israel, lapor Agensi Anadolu (AA).
Beberapa orang dilaporkan turut terbunuh dalam serangan itu.
Kementerian itu menuduh tentera Israel sengaja berusaha mencetuskan kekacauan di Gaza dan memburukkan lagi penderitaan kemanusiaan rakyatnya.
Ia menyifatkan pembunuhan kedua-dua pegawai polis itu sebagai 'pengabaian terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa' dengan menyasarkan pasukan polis"walaupun berperanan sebagai badan perlindungan awam.”
Tiada sebarang kenyataan daripada Israel mengenai serangan itu.
Walaupun resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyeru gencatan senjata segera, tentera Israel terus melancarkan serangan ke atas Gaza, yang mengorbankan lebih 45,550 mangsa, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, sejak 7 Oktober 2023.
Pada November, Mahkamah Jenayah Antarabangsa mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan, Yoav Gallant atas tuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel juga menghadapi kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa berhubung serangannnya di wilayah itu. - Bernama