GEORGE TOWN - Polis menahan seorang lelaki tempatan bersama 5,351 gram dadah heroin bernilai RM51,370 di sebuah tandas dalam hutan di kawasan Changkat Bukit Gambir di sini pada jam 5 petang Rabu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, lelaki berusia 47 tahun itu dipercayai menjalankan kegiatan pengedaran dan pemprosesan dadah jenis heroin di negeri ini.
Menurutnya, suspek yang dipercayai ahli sindiket memproses dan mengedar dadah itu ditahan sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibupejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang setelah menjalankan risikan.
"Dalam penahanan lelaki itu, kita merampas dadah jenis heroin di dalam sebuah kotak berserta pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk memproses dadah.
"Kita turut menyita sebuah motosikal bernilai RM3,500.
"Hasil risikan mendapati, aktiviti pemprosesan dan pengedaran dadah oleh sindiket itu baru bergiat aktif awal Disember tahun lalu," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Tambahnya, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas boleh digunakan oleh 26,755 orang penagih.
"Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
"Semalam mendapati tangkapan mempunyai 10 rekod lampau kesalahan melibatkan jenayah dan dadah," ujarnya.
Jelasnya, suspek direman tujuh hari bermula Khamis sehingga 8 Januari ini untuk siasatan lanjut.
"Nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan berjumlah RM54,870.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.