PORT DICKSON - Seorang anggota polis cedera ringan pada kaki kanan selepas dilanggar kenderaan pacuan empat roda dipandu seorang lelaki tempatan yang melarikan diri daripada pemeriksaan polis di Batu 4 Jalan Pantai Port Dickson di sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Maslan Udin berkata, dalam kejadian 1.40 pagi itu suspek yang berusia 37 tahun berjaya ditahan berdekatan persimpangan lampu isyarat Batu 1, Jalan Pantai Port Dickson selepas dikejar lima kereta peronda (MPV).
"Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan ini menjumpai beberapa guni kabel yang telah dibakar dan peket dadah berisi syabu dianggarkan seberat 19 gram serta ganja anggaran 55 gram dalam Mitsubishi Triton putih itu," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.
Maslan berkata, suspek yang beralamat di Hulu Langat, Selangor memiliki 26 rekod jenayah lampau selain ujian saringan air kencing juga positif ganja.
Suspek direman hingga 4 Januari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307, Seksyen 379 dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan serta Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Kejadian itu turut tular di media sosial menerusi rakaman video berdurasi lapan saat yang dimuat naik seorang pemilik akaun TikTok. - Bernama