JAKARTA - Pasangan suami isteri dari Pasuruan, Jawa Timur ditahan polis kerana dipercayai membunuh anak mereka yang berusia 7 tahun baru-baru ini.
Kejadian berlaku di rumah sewa mereka yang terletak di Kelurahan Kiduldalem, Kecamatan Bangil, Kabupaten Pasuruan.
Suspek Syahrul Abidun,19, warga Bugulkidul dan isteri Martha Widya Ningsih, 24, warga Bandar Lampung, sementara mangsa MDAF,7, murid kelas 1 Sekolah Dasar, meninggal dunia di rumah sakit selepas didera oleh pasangan tersebut.
Ketua Unit Siasatan Jenayah Balai Polis Pasuruan, AKP Achmad Doni Meidianto berkata, suspek iaitu ibu kandung dan ayah tiri mangsa sering melakukan penderaan berulang kali terhadap mangsa.
"Mereka memukul, mencakar hingga menyumbat puntung rokok ke mulut dan badan mangsa, katanya kepada wartawan pada Isnin.
Achmad Doni mengatakan mangsa dilaporkan mengadu sakit di bahagian dada pada Jumaat lalu.
Susulan itu, suspek, Syahrul memberi mangsa minuman yang bercampur minyak kayu putih hingga mangsa batuk teruk hingga mengeluarkan darah.
"Mangsa sempat dirawat di pusat kesihatan Bangil sebelum dirujuk ke hospital besar Bangil tapi sayangnya mangsa meninggal dunia pada Sabtu lalu," katanya.
Katanya, hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat pendarahan pada bahagian ginjal kanan akibat dipukul dengan benda tumpul selain terdapat beberapa kesan luka pada tubuh mangsa.
Dalam pada itu, katanya hasil siasatan terhadap suspek, mereka mengakui bahawa motif pembunuhan dipercayai kerana mangsa sering meminta wang.
"Penderaan dilakukan sejak mangsa berusia 6 tahun lagi, gara-gara dia sering meminta wang sekitar 3 hingga 5 ribu Rupiah (sekitar RM0.90 sehingga RM1.50 )," katanya.
Kedua-dua suspek kini terancam hukuman 15 tahun penjara. -Agensi