Bawa kereta balik kampung di Mulu naik bot cecah RM9,000

Iklan
Tangkap layar video TikTok milik Ferrera yang membawa pulang kereta di Mulu, Sarawak.

SHAH ALAM - Perkongsian seorang wanita menggunakan perkhidmatan bot untuk membawa kereta Perodua Axia miliknya ke kampung halaman di Mulu, Sarawak tular di media sosial.

Menerusi video pengguna TikTok @a.reraofficial atau Ferrera Paris, 32, kenderaan tersebut diangkut dan diletakkan di bahagian hadapan bot terbabit menggunakan lori tunda.

Iklan
Iklan

Ferrera yang merupakan pekerja swasta berkata, perjalanan bot berkenaan dari jeti Marudi di Baram, Sarawak ke kampungnya mengambil masa selama enam jam menggunakan laluan sungai.

"Kali ini pula membawa kenderaan sendiri untuk kegunaan orang tua saya di kampung halaman," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Iklan

Ujar Ferrera, perkhidmatan tersebut merupakan perniagaan yang diusahakan oleh keluarganya termasuk mengangkut barangan berat seperti kenderaan.

Menurutnya, bot berkenaan boleh membawa muatan mencecah enam hingga lapan tan.

Iklan

"Ini bukan kali pertama. Sebelum ini ayah saya pernah membawa lori dan kenderaan pacuan empat roda menggunakan bot.

"Kadar harga mengangkut kereta sampai ke Mulu bermula dari RM5,000 hingga RM9,000 bergantung jenis dan saiz kereta.

"Lori pula kos pengangkutan boleh mencecah sehingga RM15,000 hingga RM20,000 bergantung dengan risiko dan paras air sungai," ujarnya.