PEMAIN naturalisasi, Nguyen Xuan Son mempamerkan persembahan kelas dunia untuk memacu Vietnam menewaskan penyandang juara Thailand 2-1 dalam perlawanan akhir pertama Kejuaraan Piala ASEAN 2024 di Stadium Viet Tri, Wilayah Phu Tho.
Juara dua kali, Naga Emas (2008, 2018) kendalian Kim Sang-sik, 48, yang dibarakan lautan penyokong tuan rumah tampil beralun mengasak Thailand untuk 15 minit perlawanan.
Tekanan tinggi yang tidak henti-henti menyaksikan deretan peluang dicipta tuan rumah, namun bola gagal menemui jaring Gajah Perang bimbingan, Masatada Ishii, 57.
Pada minit ketiga, Bui Vi Hao mempunyai peluang keemasan untuk membuka jaringan, namun tandukan melepasi palang.
Thailand juga secara beransur-ansur mengharungi tekanan tinggi mula berjaya mengawal semula permainan menyaksikan barisan pertahanan Vietnam, menggagalkan sebarang ancaman serius daripada pasukan pelawat.
Separuh masa kedua Sang-sik menyuntik tenaga baharu ke dalam skuad Naga Emas dengan membawa masuk perancang Nguyen Quang Hai.
Penggantian itu membuahkan hasil positif serta-merta apabila Vietnam menjadi lebih yakin dalam penguasaan dan serangan mereka.
Hasilnya Vietnam mula di depan pada minit ke-59, apabila hantaran Quang Hai menemui Van Thanh di sayap, disempurnakan penyudah klinikal jarak dekat Xuan Son.
Tekad Xuan Son tidak berakhir di situ apabila pada minit ke-73, penyerang kelab Liga Satu Vietnam, Thep Xanh Nam Dinh mempamerkan kecemerlangan individunya menewaskan penjaga gol Patiwat Khammai, 30.
Dua gol itu kemudian menyaksikan Vietnam mengendurkan serangan sebaliknya lebih bertahan, bertujuan untuk mengekalkan pendahuluan mereka.
Kesempatan itu dimanfaatkan Thailand juara tujuh kali apabila tandukan Chalermsak Aukkee, 30, untuk satu gol pada minit ke-83 yang menyalakan impian Thailand.
Keputusan itu menyaksikan Vietnam melakar kemenangan 2-1 yang memberi kelebihan menuju ke perlawanan timbal balik di Stadium Rajamangala, Thailand, pada 4 Januari.