KOTA KINABALU - Seorang pelajar Tingkatan Satu maut dirempuh kenderaan ketika melintas jalan di Kampung Tebobon, di sini pada malam Khamis.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, remaja lelaki berusia 13 tahun yang tercampak ke tepi kanan jalan disahkan meninggal dunia di lokasi tersebut.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, kemalangan melibatkan sebuah kenderaan jenis Perodua Axia yang dipandu seorang wanita berusia 20-an melanggar seorang pejalan kaki.
Menurut Kasim, siasatan awal mendapati kenderaan tersebut datang dari arah Kota Kinabalu menuju ke arah Bandar Sierra.
"Sebaik tiba di lokasi kejadian, tiba-tiba seorang pejalan kaki berlari melintas jalan dari arah kanan ke kiri jalan dan menyebabkan pemandu tidak sempat mengelak lalu melanggar pejalan kaki tersebut.
"Akibat kejadian itu, mangsa tercampak ke tepi kanan jalan dan mengalami kecederaan parah serta disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang bertugas," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Kasim berkata, hasil siasatan mendapati kejadian berpunca daripada kecuaian mangsa yang melintas jalan sehingga menyebabkan kemalangan berlaku.
"Siasatan lanjut masih diteruskan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.