Lelaki hidap tibi meninggal dunia seorang diri di rumah

Iklan
Seorang lelaki yang menghidap penyakit tibi ditemukan meninggal dunia di rumahnya di Kampung Kuala Ping, Kuala Berang di sini pada Khamis.

HULU TERENGGANU - Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia di rumahnya di Kampung Kuala Ping, Kuala Berang di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintenden Zainul Mujahidin Mat Yudin berkata, mangsa, Johari Musa, 49, yang tinggal bersendirian di rumahnya terlalu usang itu mempunyai penyakit kronik seperti penyakit tuberkulosis atau tibi serta kencing manis.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam memaklumkan bahawa terdapat seorang lelaki telah meninggal dunia seorang diri dalam rumah kira-kira jam 1.35 petang.

"Siasatan pihak polis mendapati rumah mangsa merupakan sebuah rumah kayu peninggalan pusaka. Mangsa yang tidak pernah berkahwin itu tinggal bersendirian dalam rumah.

Iklan
Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia di rumahnya di Kampung Kuala Ping, Kuala Berang. Foto Polis

"Selain itu mangsa juga mempunyai penyakit kronik sering mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Tengkawang.

"Sebelum kejadian, jiran yang tinggal dengan jarak kira-kira dua meter di sebelah rumah mangsa memaklumkan terdengar suara batuk yang kuat dari rumah lelaki itu pada jam 2 pagi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Iklan

Mengulas lanjut, Zainul Mujahidin berkata, hasil pemeriksaan mendapati tiada kesan disyaki mempunyai unsur jenayah pada tubuh mangsa.

"Keadaan badan mangsa amat kurus ketika dijumpai.

"Pihak polis telah menghantar mayat mangsa ke unit forensik Hospital Hulu Terengganu untuk tindakan lanjut," ujarnya.

Beliau berkata, hasil bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan penyakit tibi kronik dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.