PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kerajaan akan memperluaskan latihan kepada penjawat awam terutamanya pegawai muda bermula tahun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah tersebut bagi meningkatkan kecekapan dalam tadbir urus perkhidmatan awam.
Menurutnya, latihan tersebut membabitkan bidang kecerdasan buatan (AI), pendigitalan, peralihan tenaga, pertanian dan teknikal.
"Saya mahu dalam masa beberapa tahun akan datang, keupayaan penjawat awam itu mengatasi keupayaan perunding yang ada," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam Amanat Tahun Baharu di sini pada Jumaat.
Jelas beliau, penjawat awam negara ini perlu menjadi contoh perkhidmatan yang terbaik dalam kalangan negara membangun.
"Di Peru baru-baru ini, Presiden Dina Ercilia Boluarte Zegarra menyatakan beliau mahu bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana melihat begitu hebat peranan dan tindakan diambil.
"Di Mesir pula, terdapat permintaan daripada Presiden Abdel Fattah El-Sisi supaya hubungan dan kerjasama dengan perkhidmatan awam itu ditingkatkan kerana beliau mengikuti perkembangan dan melihat cara dan kaedah pentadbiran di negara kita,” ujarnya.
Dalam pada itu, Anwar turut mengingatkan agar ketua setiausaha kementerian dan ketua pengarah sesebuah jabatan tidak sekadar meneruskan tugas yang sedia ada sebaliknya mencari kaedah baharu yang lebih inovatif dalam meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam.
Tegas beliau, perubahan yang signifikan hanya dapat dicapai melalui komitmen terhadap tugas dan sentiasa kekal berusaha memperbaiki kelemahan.
"Mesti cari kaedah baharu, tidak hanya terlalu berpuas hati dengan apa yang dicapai dan apakah kebaikan (contoh yang harus dipelajari) itu boleh melonjak kekuatan kita sebagai suatu negara besar yang terkenal,” katanya.