Ejen sindiket seludup PATI cuba rasuah polis RM50,000 direman

Iklan
Suspek (kiri) memakai baju lokap berwarna jingga hadir ke Kompleks Mahkamah Kota Bharu di Tunjong. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID

KOTA BHARU - Seorang ejen sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) direman tiga hari di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat bagi membantu siasatan cubaan menyogok pegawai polis dengan wang tunai RM50,00 bagi melepaskan dirinya dan tiga tekong Disember lalu.

Iklan
Iklan

Reman terhadap suspek berusia 25 tahun itu berkuat kuasa bermula Jumaat hingga Ahad.

Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Mohd Fauzan Mohd Suhairi mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 Akta (SPRM) 2009.

Iklan

Dalam pada itu, suspek yang berbaju lokap berwarna jingga tiba di Kompleks Mahkamah Kota Bharu dengan dibawa menggunakan kenderaan SPRM pada jam 9.40 pagi.

Pada 7 Disember lalu, Op Taring Wawasan Kelantan dijalankan oleh sepasukan Briged Tenggara dan Batalion 9 Pasukan Gerakan Am Polis Diraja Malaysia pada jam 6.30 pagi.

Iklan

Pasukan operasi mengesan tiga kereta jenis Honda Civic, Perodua Myvi dan Perodua Ativa dalam keadaan mencurigakan di tepi semak di Jalan Sri Cemerlang di sini.

Ketiga-tiga kenderaan itu ditahan sebelum tangkapan dibuat terhadap tiga lelaki tempatan berusia 27 hingga 32 tahun disyaki berperanan sebagai tekong.

Turut ditahan 16 PATI warga Myanmar membabitkan 11 lelaki, empat wanita serta seorang kanak-kanak.

Soal siasat polis terhadap salah seorang tekong membawa kepada penangkapan ejen sindiket berusia 25 tahun berhampiran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di sini.

Semasa dalam perjalanan ke balai polis, ejen terbabit dipercayai cuba menyerahkan wang tunai RM50,000 kepada pegawai operasi dan merayu dilepaskan bersama tiga tekong tempatan.

Pegawai operasi bagaimanapun memberi amaran supaya tidak berbuat demikian tetapi dia dikatakan tetap cuba menyogok menyebabkan suspek ditahan mengikut Akta SPRM 2009.

Dalam penahanan itu, polis turut menyita kereta, telefon bimbit dan merampas wang tunai RM50,000.

Kesemua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.