Solat: Pintu rezeki yang tersembunyi

Iklan
CABARAN kita pada hari ini sebenarnya adalah menunaikan solat bukan kerana rutin, tetapi dirikanlah ‘tiang agama’ itu kerana cinta iaitu kepada ALLAH, diri sendiri dan perjalanan kerohanian kita. -Foto: 123RF/ Gambar kecil: USTAZ AHMAD SAIFUDDIN

Bukan sekadar amalan, bahkan ia merupakan proses penyucian jiwa

DALAM kehidupan yang semakin mencabar, kita sering terjebak dalam kitaran mencari rezeki tanpa henti.

Setiap hari, kita bangun pagi, bersiap dan ‘melompat’ ke dalam perlumbaan hidup yang kelihatannya tiada penghujung - mencari wang, status dan pengiktirafan.

Iklan
Iklan

Namun, adakah kita pernah berhenti sejenak bertanyakan ‘Apakah maksud sebenar rezeki?’

Ketahuilah bahawa rezeki bukan sekadar wang yang memenuhi akaun bank. Maksudnya lebih mendalam. Ia adalah segala kebaikan yang ALLAH kurniakan dalam hidup kita.

Iklan
Setiap nafas, peluang dan bahkan senyuman adalah rezeki. Malah, kunci untuk membuka pintu rezeki yang melimpah-ruah terletak pada satu amalan suci iaitu solat.

Ini kerana solat bukan sekadar ritual yang kita lakukan lima kali sehari. Mengertilah, ia merupakan dialog intim antara seorang hamba dengan Pencipta.

Bayangkan setiap kali tangan diangkat untuk melakukan takbiratulihram, kita sebenarnya sedang membuka saluran komunikasi dengan Yang MAHA PEMBERI.

Iklan

SAMA-SAMALAH kita menjadikan solat sebagai rutin keluarga, sekali gus menjadi bara yang menyemarakkan lagi rahmat dan berkat daripada ALLAH. -Foto: 123RF

Cabaran menghayati solat

Menerusi al-Quran, ALLAH SWT dengan jelas berfirman: "Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya.” (Surah Taha: 132)

Benar, ramai yang melakukan solat, namun diakui sendiri sukar untuk kita menghayatinya. Kita mungkin sekadar menggerakkan badan, tanpa menyentuh hakikat yang hakiki tentang ibadah ini.

Hakikatnya, solat bukan sekadar gerakan fizikal, sebaliknya ia adalah perjalanan rohani yang mendalam.

Bagaimana komunikasi antara hamba dan Tuhan itu terhubung melalui satu cara iaitu solat?

Begitu juga dengan solat kerana ada yang sekadar ‘mengalirkannya’, tetapi tidak semua yang memahami hakikat ‘pertumbuhannya’.

SOLAT bukan sekadar gerakan fizikal, sebaliknya ia adalah perjalanan rohani yang mendalam. -Foto: 123RF

Rahsia keberkatan

ALLAH menyambung lagi firman-NYA menerusi ayat ke-132 surah Taha dengan menambah:"KAMI tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) KAMILAH yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa.”

Ayat itu adalah pengingat bahawa segala sesuatu datang daripada-NYA. Kita hanya perlu menyediakan ruang dalam hati untuk menerimanya.

Nabi Muhammad SAW pernah berpesan kepada anak muda iaitu Ibnu Abbas: "Jagalah ALLAH, tentu ALLAH menjaga kamu. Jagalah ALLAH, tentu kamu akan dapati DIA di hadapan kamu.” (Hadis Riwayat At-Tirmizi)

Maksud ayat ‘jagalah ALLAH’ itu merujuk kepada menjaga hak-hak ALLAH antaranya solat. Nabi Muhammad SAW memberi jaminan bahawa DIA akan menjaga kita. Jagaan ALLAH itu ada satu rezeki sama ada di dunia dan di akhirat.

Sementara itu, ayat ‘Kamu akan dapati DIA di hadapan kamu’ bermaksud, ALLAH SWT turut menjaga masa depan kita dan juga anak keturunan masing-masing. Mengertilah, itu juga satu bentuk rezeki apabila Sang Khalik menjaga anak cucu kita.

Seorang tabiin besar bernama Sa’id bin al-Musayyab pernah berkata kepada anaknya:"Ayahanda solat ini supaya ia dapat menjaga anakanda.”

Justeru, sama-samalah kita menjadikan solat sebagai rutin keluarga, sekali gus menjadi bara yang menyemarakkan lagi rahmat dan berkat daripada ALLAH melalui penjagaan keselamatan, kemudahan rezeki dan dijauhkan daripada malapetaka.

Dalam setiap solat, kita belajar melepaskan keresahan dunia dan kembali kepada ketenangan sejati.

Cabaran kita pada hari ini sebenarnya adalah menunaikan solat bukan kerana rutin, tetapi dirikanlah ‘tiang agama’ itu kerana cinta iaitu kepada ALLAH, diri sendiri dan perjalanan kerohanian kita.

INFO

Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) menggerakkan inisiatif menyebarkan al-Quran untuk membina masyarakat yang berakhlak, berilmu dan beramal berlandaskan nilai-nilai al-Quran. Sumbangan tuan/ puan akan melancarkan lagi Gerakan #SavingTheUmmah melalui Al-Quran.

*Artikel ditulis oleh Ustaz Ahmad Saifuddin Yusof, Konsultan Kandungan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF)