Keberkatan masa yang hilang

Iklan
MANUSIA mempunyai masa yang sama, namun jika gagal merancang dan menguruskannya akan menyebabkan kerugian yang besar. Foto CANVA

Ingat tujuan manusia diciptakan, raih keberkatan masa dan gunakan ia sebaiknya untuk manfaat diri serta umat Islam

BERAKHIRNYA hari pada tanggal 31 Disember menandakan tamatnya tempoh satu tahun bagi kalendar Masihi dan bermulanya episod baharu untuk jangka waktu satu tahun akan datang.

Secara umumnya, berakhirnya satu tahun bermakna umur kita semua semakin bertambah.

Iklan
Iklan

Namun bagi umat Islam, bertambahnya angka umur itu memberi makna usia yang akan dilalui di dunia ini semakin pendek sebelum kembali bertemu Sang Pencipta.

Membicarakan mengenai masa, Sinar Islam Plus menemu bual Ketua Imam Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur, Ustaz Ahmad Fakhruddin Mohd Tahir.

Iklan

Menurut beliau, Nabi Muhammad SAW pernah bersabda mengenainya: "Tidak akan berlaku kiamat sehingga waktu terasa begitu pantas, setahun dirasakan seperti sebulan, sebulan dirasakan seperti seminggu, seminggu dirasakan seperti sehari, sehari dirasakan seperti satu jam dan satu jam dirasakan seperti satu sambaran api.” (Hadis Riwayat At-Tirmizi)

USTAZ AHMAD FAKHRUDDIN

Iklan

"Imam An-Nawawi menyatakan masa berlalu dengan pantas disebabkan hilangnya keberkatan masa. Dalam sehari-hari masa berlalu begitu sahaja tanpa dimanfaatkan sepenuhnya.

Berbeza dengan masa yang berkat akan dipenuhi dengan pelbagai perkara yang bermanfaat, ia diisi dengan pelbagai amal ibadah sebagai manifestasi ketaatan seorang hamba yang beriman kepada ALLAH SWT, ujarnya.

Meraih keberkatan masa

Menjawab persoalan mencari keberkatan masa, Ustaz Ahmad Fakhruddin menjelaskan, umat Islam perlu meningkatkan iman dan takwa kepada ALLAH SWT sebagaimana firman-NYA dalam ayat ke-96 surah al-A’raf:

"Dan sekiranya penduduk negeri itu beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu kurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya dari langit dan bumi.”

Ujarnya, beriman kepada ALLAH SWT memberi keyakinan kepada manusia bahawa kehidupan di dunia adalah sementara sebaliknya akhiratlah yang kekal selamanya.

"Kehidupan di dunia adalah tempat persinggahan untuk manusia membuat bekalan ibadah untuk dibawa ke akhirat.

"Dengan keyakinan ini, manusia akan memanfaatkan masa untuk melipatgandakan amal ibadah, membina ketaatan kepada segala perintah ALLAH SWT dan menjauhi segala larangan-NYA.

"Takwa kepada ALLAH SWT akan menjadikan manusia sentiasa takut dan berhati-hati untuk menjalani kehidupan seharian supaya sentiasa berada dalam keredaan ALLAH SWT dan tidak melakukan perkara-perkara yang boleh mengundang kemurkaan-NYA," jelasnya.

Tambahnya, keberkatan masa juga boleh diraih melalui amalan menjaga solat fardu pada awal waktu yang diiktiraf oleh Rasulullah SAW sebagai salah satu amalan yang paling baik.

PELBAGAI urusan harian yang tidak pernah habis menyebabkan manusia leka tujuan mereka diciptakan di atas dunia ini. Foto CANVA

Masa yang berkat turut boleh diraih melalui pengurusan masa efektif, ujar Ustaz Ahmad Fakhruddin.

"Ia penting supaya setiap saat dalam kehidupan seharian dapat dimanfaatkan dan tidak berlalu dengan sia-sia. Rasulullah SAW sangat menitikberatkan soal kepentingan menguruskan masa dalam kehidupan.

"Sebagai peringatan, Baginda SAW bersabda: "Dua daripada nikmat ALLAH SWT yang kebanyakan manusia tertipu padanya ialah sihat dan masa lapang” (Hadith Riwayat Bukhari)," jelasnya lagi.

Kehidupan seharian juga ibadah

Mengulas mengenai masa dalam kehidupan seharian, amatlah rugi sekiranya perjalanan waktu itu tidak diisi dengan perkara-perkara yang disandarkan kepada ALLAH SWT, ujar Pegawai Hal Ehwal Islam Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan itu lagi.

Tujuan penciptaan manusia adalah untuk beribadah kepada ALLAH SWT. Firman ALLAH SWT menerusi ayat ke-56 surah az-Zariyat yang bermaksud:

"Dan tidaklah AKU ciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-KU.”

BAHAGIKAN masa dengan baik untuk urusan seharian dan ibadah selain masa untuk keluarga serta masyarakat. Foto CANVA

Sebagai kesimpulannya, bersempena tahun baru 2025, Ustaz Ahmad Fakhruddin memberi nasihat kepada umat Islam mengenai kepentingan masa yang diberkati untuk dijadikan pedoman bersama:

1 - Banyakkan muhasabah supaya tidak mudah rebah.

Muhasabah untuk sentiasa memajukan diri, minimumkan kelemahan dan maksimakan kelebihan. Tidak mudah berputus asa untuk mencapai kejayaan dunia dan akhirat.

2 - Tetap istiqamah supaya tidak mudah lemah.

Utamakan istiqamah dalam beramal walaupun amalan yang kecil.

3 - Tingkatkan ilmu, supaya tidak mudah jemu.

Ilmu dapat membezakan antara baik dan buruk. Memandu manusia berfikiran secara matang dan rasional dalam tindakan.

4 - Jauhi fitnah supaya tidak mudah punah.

Manfaatkan kecanggihan teknologi membina ketamadunan manusia yang unggul. Jangan sesekali disalahgunakan untuk sebaliknya.