PADA 2005, riwayat hidup Omar Khayyam pernah diangkat ke layar perak menerusi filem berjudul The Keeper: The Legend of Omar Khayyam.
Itu bukanlah kali pertama bingkisan kisahnya ditayangkan, sebaliknya ceritera mengenainya pernah difilemkan sekitar tahun 1957.
Menyoroti historiografinya, pemilik nama sebenar Ghiyath Ad-Din Abul Fateh Omar Ibnu Ibrahim Khayyam itu terkenal dengan kepakarannya dalam bidang matematik, astronomi, saintis, penulis dan penyair pada zamannya.
Terlebih dahulu, perlu diketahui bahawa Khayyam itu bukanlah namanya, sebaliknya perkataan yang bermaksud pembuat khemah tersebut diambil sempena pekerjaan bapanya, Ibrahim Khayyam. Bapanya dikatakan seorang ahli fizik yang kaya.
Menurut portal berita berpengaruh di Indonesia, Republika, ilmuan asal Nishapur yang dilahirkan pada 1048 Masihi banyak menghabiskan masa kecilnya di kota Balkh (kini utara Afghanistan).
"Omar Khayyam bertuah kerana berasal dari keluarga yang mempunyai tahap ekonomi stabil dan beliau juga diterima masuk dalam pelbagai majlis sains serta diajar oleh ramai guru termasuk yang elit.
"Apatah lagi ketika itu Seljuk berada di kemuncak dan pihak berkuasa tempatannya sangat menyokong pembangunan sains di wilayah mereka. Justeru, banyak perpustakaan awam dibina dan di situlah lelaki pintar ini tidak berhenti menyelam ke dalam lautan ilmu dari buku,” katanya.
Sumbangan dalam bidang matematik
Tidak cukup sekadar itu, beliau turut mengembara hingga ke Samarkand (kini di Uzbekistan). Di situlah Omar menyelesaikan risalah algebra dikenali sebagai Risalah fil-Barahin ala Masail al-Jabr Walmuqabalah.
Britannica.com melaporkan, beliau melakukan perbincangan sistematik tentang penyelesaian persamaan kubik.
"Beliau juga merupakan individu pertama mengembangkan teorem binomial dan menentukan pekali binomial,” katanya sebagaimana dipetik menerusi thepatriots.asia.
Melihat kepada kecerdasannya itu, tidak hairanlah apabila Omar mampu menggarap dengan baik buku memerihalkan tentang pecahan-pecahan, persamaan geometrik dan algebra serta klasifikasi tentang persamaan menerusi kitab Maqalat fi al-Jabr wa al-Muqabila.
"Malah, Omar merupakan orang pertama secara ilmiah yang mengklasifikasikan persamaan-persamaan linear,” lapor scribd.com.
Dek kepintarannya itu membuatkan Sultan Seljuk, Malik Shah menjemputnya ke Esfahan untuk melakukan pemerhatian astronomi bagi pembaharuan kalendar.
"Bagi mencapai tujuan itu, sebuah balai cerap dibina di sana dan kalendar baharu dihasilkan dikenali sebagai kalendar Jalali. Berdasarkan lapan daripada 33 tahun lompat, ia lebih tepat daripada kalendar Gregorian sekarang dan diterima pakai pada 1075 Masihi oleh Malik Shah,” lapor portal Britannica.
Satu lagi penemuannya yang mengagumkan dalam bidang astronomi, Omar pernah membuat satu peta bintang di angkasa (kini lenyap).
Sumbangan tidak berbelah bahaginya dalam bidang astronomi membuatkan nama Omar Khayyam terpateri sebagai salah satu nama planet kecil di ruang angkasa.
Menurut laman web khazanah.republika.co.id, ia ditemukan oleh Lyudmila Zhuravlyova, ahli astronomi dari Uni Soviet pada 1980.
"Zhuravlyova kemudian menamakan planet itu sebagai Omar Khayyam,” tulisnya.
Bukan itu sahaja, namanya turut diabadikan sebagai salah satu nama kawah bulan sejak tahun 1970.
Tulis 1,000 syair, puisi
Di dunia Barat, pengaruh Omar dalam bidang penulisan syair dan puisi begitu dikagumi hinggakan namanya masyhur sebagai penyair.
Memetik laporan portal Republika, Omar diyakini telah menulis 1,000 buah syair dan puisi.
"Karya itu juga telah diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa termasuk Inggeris hasil terjemahan Edward Fitzferakd (1809 - 1883 Masihi) yang begitu popular hinggakan diterbitkan sebanyak lima edisi iaitu tahun 1859, 1868, 1872, 1879 dan 1889,” katanya.
Menurut Kompas.com, kebanyakan puisi yang ditulis oleh figura hebat itu berkisarkan tentang kehidupan, cinta dan falsafah yang menarik hati para peneliti dari Barat.
*Foto: Aljazeera.com, Imgcdn.stablediffusionweb.com, Syndy.com & Okbutwhy.org
PROFIL
Nama penuh: Ghiyath Ad-Din Abul Fateh Omar Ibnu Ibrahim Khayyam
Nama panggilan: Omar Khayyam
Asal: Nishapur, semenanjung Khurasan
Tahun kelahiran: 1048 Masihi
Tahun kematian: 1131 Masihi
Sumbangan:
- Penemuan kalendar matahari dikenali sebagai kalendar Jalili, yang kemudian digunakan sebagai asas kepada banyak kalendar lain.
- Individu pertama menawarkan penyelesaian untuk persamaan kubik dan huraian geometrik.
- Sumbangan terbesarnya adalah dalam bidang algebra.
Karya agung: Maqalat fi al-Bajr wa al-Muqabila, Jamawi al-Hisab, Risalah fi Syarhi ma Asykala min Kitab Euklides, Risalah al-Mizan al-Labari, Zaij Maliksyah dan Al-Musiqa al-Kabir