Guru agama maut dilanggar ketika perjalanan ke sekolah

Iklan
Motosikal mangsa yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Tali Air 4 Ban 2 dari arah Tanjong Karang menghala ke Sekinchan di sini pada Khamis.

KUALA SELANGOR - Seorang guru di sebuah Sekolah Rendah Agama (SRA) maut selepas motosikal ditunggangnya dilanggar sebuah kereta di Jalan Tali Air 4 Ban 2 dari arah Tanjong Karang menghala ke Sekinchan di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Azaharudin Tajudin berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu kira-kira jam 3.52 petang.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, siasatan awal polis mendapati kemalangan jam 12.45 tengah hari itu berlaku sewaktu penunggang motosikal jenis Honda Wave berusia 46 tahun dipercayai dalam perjalanan ke sekolahnya dari arah Ban 2 Parit 4 Tanjong Karang.

"Motosikal telah dilanggar pemandu kereta jenis Perodua Kenari berusia 53 tahun menyebabkan mangsa tercampak ke sisi kanan jalan dan mengalami kecederaan parah di bahagian perut.

Iklan

"Mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Tanjong Karang, bagaimanapun disahkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau memberitahu, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.

Iklan

Sehubungan itu, katanya, orang ramai yang menyaksikan kejadian dan mempunyai maklumat lanjut mengenai kejadian itu diminta tampil menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor di talian 03-32891222 atau mana-mana balai polis berdekatan.