SERING kali ungkapan ‘seimbang dalam kehidupan’ dituturkan dalam masyarakat bagi menggambarkan kehidupan yang seimbang sama ada untuk urusan kerja, keluarga, seharian, ibadah dan juga bersama masyarakat.
Mengupas topik keseimbangan kehidupan ini, Sinar Islam Plus menemu bual Penolong Dekan Hal Ehwal Pelajar & Alumni, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Zaizul Ab Rahman.
Menurut beliau, dalam membuat perancangan untuk mendapatkan keseimbangan kehidupan, kita perlu membuat agihan masa yang tepat dengan mengguna pakai Teori Burner.
"Teori ini membandingkan kehidupan dengan dapur yang mempunyai empat pembakar dengan setiap pembakar mewakili satu aspek utama kehidupan,” jelasnya.
Empat pembakar dalam Teori Burner
Menurut pensyarah itu, empat pembakar Teori Burner:
1) Pembakar keluarga
Ia melambangkan hubungan dengan keluarga terdekat seperti ibu bapa, pasangan dan anak-anak.
Pembakar keluarga menuntut masa dan perhatian untuk menjaga keharmonian keluarga, mendidik anak-anak serta memenuhi tanggungjawab kekeluargaan.
2) Pembakar kerjaya
Ia melambangkan usaha dan komitmen terhadap pekerjaan atau pembangunan keluarga.
Pembakar kerjaya melibatkan masa untuk belajar, bekerja, membina jaringan profesional dan mencapai matlamat kerjaya.
3) Pembakar kesihatan
Ia melambangkan penjagaan kesihatan fizikal, mental dan emosi.
Pembakar kesihatan merangkumi masa untuk bersenam, menjaga pemakanan, berehat secukupnya dan menangani tekanan.
4) Pembakar persahabatan atau sosial
Ia melambangkan hubungan dengan rakan-rakan, komuniti dan kehidupan sosial.
Pembakar persabahatan atau sosial termasuk interaksi sosial, hobi atau aktiviti kemasyarakatan yang memberi makna kepada kehidupan.
Konsep utama Teori Burner
Menurut Dr Zaizul, konsep utama Teori Burner adalah keseimbangan dan keutamaan.
"Teori ini mencadangkan bahawa tidak mungkin semua empat pembakar dihidupkan pada kapasiti maksimum secara serentak.
Selain itu katanya, konsep utama teori ini juga memerlukan pengorbanan dan mungkin perlu mengorbankan perhatian pada satu pembakar untuk memberi lebih masa kepada pembakar yang lain.
"Sebagai contoh, mengejar kejayaan kerjaya mungkin memerlukan kita mengorbankan sebahagian masa untuk keluarga atau kesihatan,” ujarnya.
Jelasnya lagi, dalam meletakkan sesuatu keutamaan, identifikasi aspek kehidupan yang paling penting pada satu-satu masa.
"Sebagai contoh, jika kesihatan terabai, pembakar kesihatan perlu diberi perhatian lebih pada masa tersebut.
Keutamaan juga boleh berubah mengikut fasa kehidupan, ujarnya.
"Sebagai contoh, pada awal kerjaya, fokus pada pembakar keluarga dan kerjaya.
"Dalam beberapa situasi, meminta bantuan atau mendelegasikan tanggungjawab boleh membantu mengekalkan api pembakar lain,” jelasnya.
Teori Burner dalam perspektif Islam
Ahli akademik itu menjelaskan, dalam Islam, keseimbangan antara aspek kehidupan adalah sangat penting kerana setiap manusia bertanggungjawab terhadap dirinya sendiri, keluarga, masyarakat dan agamanya berdasarkan firman ALLAH SWT dalam ayat ke-77 surah al-Qasas:
"Dan carilah apa yang telah dianugerahkan ALLAH kepada kamu (kebahagiaan) negeri akhirat dan janganlah kamu melupakan bahagian kamu di dunia.”
Sebagai kesimpulan, Dr Zaizul menjelaskan, Teori Burner membantu memahami perlunya keutamaan dan pengurusan masa yang strategik untuk mencapai keseimbangan dalam kehidupan.
"Walaupun setiap individu mungkin memadamkan atau mengecilkan pembakar tertentu, matlamat utamanya adalah untuk memastikan semua aspek kehidupan dipelihara secara harmoni dalam jangka masa panjang.
"Teori Burner memberi panduan praktikal untuk mengurus masa dan tenaga dengan bijak, sementara Islam menawarkan prinsip asas keseimbangan dan keutamaan.
"Dengan menjadikan setiap aspek kehidupan sebagai ibadah, umat Islam dapat menghidupkan semua pembakar dalam harmoni sepanjang tahun. Gabungan usaha, doa dan tawakal akan membawa keberkatan dalam setiap azam dan perancangan,” jelasnya.
Teori Burner dan azam tahun baharu
1) Pembakar keluarga
- Jaga hubungan kekeluargaan.
- Kukuhkan silaturahim.
- Bimbing ahli keluarga kepada kebaikan.
- Amalan yang konsisten bersama.
2) Pembakar kerjaya
- Mencari rezeki halal dan berkat.
- Menjadi pekerja atau majikan yang amanah.
- Seimbang dunia dan akhirat.
- Jadual kerja produktif tanpa mengabaikan ibadah.
3) Pembakar kesihatan
- Jaga amanah tubuh badan.
- Utamakan kesihatan fizikal.
- Elakkan pembaziran makanan dan jaga pemakanan.
- Bersenam dan rehat secukupnya.
4) Pembakar persahabatan atau sosial
- Berbakti kepada masyarakat.
- Kukuhkan silaturahim dengan sahabat dan jiran.
- Menyumbang kepada komuniti.
- Ambil berat tentang masyarakat.