PUTRAJAYA - Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada tahun ini dijangka memberi impak positif kepada ekonomi negara, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu berkata sepanjang tahun ini, Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada kira-kira 323 mesyuarat ASEAN di pelbagai peringkat termasuk sidang kemuncaknya yang dijangka berlangsung pada Mei ini.
"(Kepengerusian ASEAN) ini akan memberi limpahan manfaat kepada rakyat, terutama di setiap negeri yang menjadi lokasi penganjuran. Ini termasuk sektor perhotelan, pelancongan dan industri tempatan.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir sesi Live Feed Amanat Perdana Menteri 2025 bersama warga Kementerian Komunikasi di sini, hari ini yang turut dihadiri timbalannya Teo Nie Ching dan Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama, Arul Rajoo Durar Raj.
Fahmi berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah meminta supaya setiap kementerian yang menjadi tuan rumah bagi mesyuarat ASEAN untuk mengutamakan produk kraf tangan tempatan untuk dijadikan cenderahati.
"Jadi ini juga satu lagi limpahan tambahan. Insya-Allah, penangan Kepengerusian ASEAN ini nanti akan mendatangkan kesan positif kepada ekonomi negara kita secara tidak langsung,” katanya.
Fahmi turut meminta Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) dan Jabatan Penerangan (JaPen) untuk memainkan peranan aktif dalam menyampaikan hasil mesyuarat ASEAN kepada rakyat dalam bahasa yang mudah difahami..
"Tugas ini penting supaya rakyat tidak rasa terpisah ataupun jauh daripada acara ASEAN itu sendiri. Bernama juga diminta memastikan maklumat ini disampaikan dengan berkesan kepada seluruh rakyat,” katanya.
Malaysia secara rasmi memegang jawatan Pengerusi ASEAN bermula 1 Januari 2025 dengan tema"Keterangkuman dan Kemampanan”, yang mencerminkan aspirasi negara untuk membentuk ASEAN yang bersatu dan makmur. - Bernama