SHAH ALAM - Malaysia setakat ini tidak mengalami sebarang krisis bekalan beras dan masih mencukupi bagi keperluan rakyat negara ini.
Padiberas Nasional Berhad (Bernas) dalam satu kenyataan memaklumkan, stok Beras Putih Import (BPI) sentiasa mencukupi bagi keperluan negara.
Menurut Bernas, pihaknya telah memastikan ketersediaan bekalan beras secara berterusan tanpa sebarang gangguan.
"Kami juga sekali lagi melaksanakan penurunan harga BPI di pintu gudang Bernas di Semenanjung Malaysia daripada RM3,000 kepada RM2,800 per tan metrik, berkuatkuasa 1 Disember 2024.
"Pada Mac 2024, Bernas menurunkan harga BPI daripada RM3,200 kepada RM3,000 per tan metrik di Semenanjung Malaysia, walaupun pada masa itu trend harga BPI masih berlegar di paras tertinggi dalam tempoh 15 tahun lepas.
"Kerjasama antara Bernas, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan pemain industri sentiasa berjalan bagi menjamin ketersediaan produk dan mendokong agenda keterjaminan makanan negara," katanya pada Jumaat.
Sebelum ini, Kluster Makanan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup (NACCOL) mencadangkan kerajaan mengimport beras putih dari Pakistan merupakan kaedah yang berpotensi bagi menoktahkan kemelut berhubung harga dan bekalan beras putih di pasaran tempatan.
Ketuanya, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, cadangan itu telah disuarakan kepada Bernas selaku pengimport tunggal beras di negara ini.
Menjawab kepada cadangan NACCOL, Bernas memberitahu, Pakistan adalah salah satu negara utama pembekal BPI sejak sekian lama, selain Thailand, Vietnam dan India,
Bernas juga menjelaskan bahawa tiada sebarang perbincangan di antara pihaknya dan NACCOL berhubung cadangan tersebut.
"Namun, Bernas sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk memperkasa agenda keterjaminan makanan negara.
"Selain itu, sebagai pelaksana Perjanjian Konsesi dengan Kerajaan Malaysia, Bernas komited terhadap tanggungjawab sosial yang telah ditetapkan termasuk menyokong kebajikan pesawah melalui perkongsian keuntungan beras import sebanyak 30 peratus dan bantuan 'one-off' RM60juta kepada pesawah yang diumumkan baru-baru ini.
"Kami juga memberikan jaminan pendapatan kepada pesawah tempatan melalui fungsi Bernas sebagai pembeli padi terakhir yang bertujuan untuk memastikan padi tempatan sentiasa mendapat pasaran yang baik apabila pesawah tidak dapat memasarkan keluaran mereka kepada kilang-kilang swasta," ulasnya.