ALOR SETAR - Pencarian mangsa hilang di Kampung Seberang Nyonya, sejak malam Rabu berakhir dengan penemuan mayat Orang Kurang Upaya (OKU) itu pada Jumaat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar, Timbalan Penguasa Bomba II, Ahmad Naufal Abdullah berkata, mangsa ditemukan pada jam 9.51 pagi dalam keadaan terdampar di tebing sungai dipercayai lemas, dengan jarak kira-kira 400 meter dari persimpangan Tanjung Cali.
Menurutnya, mayat dikenali sebagai Ng Wei Hong, 28, berstatus OKU mental, diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
"Sebelum ini, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kedah telah menerima panggilan terus dari Pasukan Bomba Sukarela Seberang Nyonya memaklumkan kejadian, pada Rabu malam.
"PGO Kedah telah mengarahkan jentera dan EMRS serta unit RIM BBP Alor Setar ke lokasi kejadian dan Pusat kawalan bomba (PKB) Seberang Nyonya diaktifkan di lokasi kejadian pada jam 3.44 pagi pada Khamis,"katanya.
Seterusnya, operasi SAR diteruskan dengan pencarian di kawasan semak belakang Balai Bomba PBS Seberang Nyonya di mana lokasi mangsa dilaporkan hilang dan dua anggota menaiki bot PBS membuat pencarian di sungai sekitar lokasi.
Bagaimanapun, katanya, mayat mangsa yang hilang ditemukan terdampar di tebing sungai pada Jumaat, kemungkinan lemas.