Polis Selangor tangguh semua permit konsert

Iklan
Hussein (tengah) dalam sidang akhbar di IPK Selangor pada Jumaat. Foto Sinar Harian/ASRIL ASWANDI SHUKOR

SHAH ALAM - Polis Selangor menangguhkan sementara permit penganjuran konsert di negeri itu susulan kes kematian berkait penyalahgunaan dadah di konsert Pinkfish di Bandar Sunway, pada ambang tahun baharu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, penangguhan permit itu dibuat serta-merta.

Iklan
Iklan

"Di masa hadapan dalam sebarang anjuran konsert, semua pihak penganjur perlu beri keyakinan bahawa mereka boleh kawal daripada sebarang kemasukan dadah dalam mana-mana konsert.

"Sekiranya perkara ini gagal dipatuhi, kita tidak boleh benarkan konsert dilakukan yang boleh menyebabkan berakhir dengan kematian," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini pada Jumaat.

Iklan

Beliau berkata, jumlah kehadiran di konsert Pinkfish tidak kurang daripada 14,000 orang dan ia satu bilangan yang ramai.

Jelasnya, jadi pihak polis perlu melihat penganjuran apa sahaja konsert di masa depan sekiranya dibenarkan perlu mematuhi jumlah peserta mengikut keluasan tempat, kedua dari segi keselamatan dan ketiga pengudaraan.

Iklan

"Kemungkinan (kes Pinkfish) kerana kesesakan terlalu ramai dan ditokok tambah dengan pengambilan barang terlarang dan sebagainya," ujarnya.

Tegas Hussein, buat masa ini polis menangguhkan dulu sebarang kelulusan permit untuk mengajurkan konsert sebegini sehingga kita dapat kepastian penganjur boleh mengawal tiga perkara yang perlu dipatuhi.

"Terutama isu pengedaran dadah dalam konsert.

"Ini melibatkan pengajuran konsert yang melibatkan elemen muzik, alkohol dan jumlah pengunjung yang ramai," ujarnya.

Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan empat warga tempatan berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun meninggal dunia semasa menghadiri Konsert Pinkfish di Bandar Sunway, Subang Jaya, 31 Disember.

Hussein kemudian mengesahkan kematian dipercayai berpunca akibat pengambilan pil ekstasi.

Setakat ini kes itu telah diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR).

Namun, pada masa sama polis mengesan terdapat aktiviti penjualan pil ekstasi di dalam dan luar konsert terbabit dan usaha mengenal pasti individu terlibat giat dilakukan.