Muafakat Nasional Tanjong Karang sertai Himpunan Sokong Najib

Iklan
Muafakat Nasional Parlimen Tanjong Karang mengadakan mesyuarat pada Jumaat.

KUALA SELANGOR - Muafakat Nasional (MN) Parlimen Tanjong Karang menggerakkan kira-kira 200 orang hadir ke perhimpunan solidariti untuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Istana Kehakiman, Putrajaya, pada Isnin ini.

Pengerusinya, Zainal Abidin Abdul Samad berkata, kehadiran itu terdiri dalam kalangan ahli badan bukan kerajaan (NGO).

Iklan
Iklan

Menurut beliau, solidariti itu memerlukan sokongan semua pihak kerana ia melibatkan isu rakyat.

"Kami akan bersama-sama dalam perhimpunan ini bagi menyatakan sokongan terhadap Najib dalam menegakkan Perlembagaan," katanya selepas Mesyuarat MN Parlimen Tanjong Karang di sini pada Jumaat.

Iklan

Ujar beliau, MN akan terus memperjuangkan prinsip keadilan kerana semua individu berhak mendapat layanan saksama di bawah peruntukan undang-undang tanpa dipengaruhi oleh tekanan politik.

Mengulas lanjut, Zainal Abidin memberitahu, pihaknya juga menyediakan perkhidmatan bas untuk kemudahan mereka yang ingin mengikuti perhimpunan terbabit.

Iklan

"Kita merancang menyediakan sebanyak dua bas yang akan membawa penyokong hadir bersama-sama menyatakan solidariti masing-masing," tambah beliau.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai sepucuk surat oleh Pas yang mengarahkan ahlinya berhimpun bagi 'Solidariti Bersama Najib Razak Menuntut Keadilan' pada 6 Januari depan.

Surat dikeluarkan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan kepada Pesuruhjaya Pas Selangor, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, Melaka dan Pahang serta setiausaha sayap parti itu memaklumkan perhimpunan berkenaan akan diadakan mulai jam 9 pagi di Mahkamah Rayuan, Istana Kehakiman, Putrajaya.

Mahkamah Rayuan menetapkan Isnin ini untuk mendengar rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan Titah Adendum.