SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menzahirkan penghargaan kepada UMNO atas sokongan yang diberikan untuk perhimpunan Solidariti 4 Najib Razak yang akan diadakan di Istana Kehakiman, Putrajaya pada Isnin ini.
Perkara itu disampaikan oleh anaknya yang juga Ketua Bahagian UMNO Langkawi, Datuk Nazifuddin Najib kepada semua ketua bahagian, ahli-ahli dan penyokong parti itu.
Menurutnya, beliau telah memaklumkan kepada Najib mengenai usaha semua pihak termasuk penyediaan bas, kereta dan sokongan moral yang tidak berbelah bahagi.
"Saya telah maklumkan kepada ayahanda mengenai usaha ikhlas semua pihak. Beliau amat terharu dan mengucapkan penghargaan yang mendalam kepada setiap seorang daripada anda.
"Kesungguhan ini mencerminkan keutuhan kita sebagai parti dan kesetiaan kita terhadap perjuangan. Insya-ALLAH dengan doa dan usaha bersama, kita akan melihat kejayaan yang diredhai.
"Mohon teruskan semangat ini dan sahkan kehadiran sebaik mungkin bagi penyelarasan yang lebih lancar. Terima kasih sekali lagi atas komitmen anda semua. Semoga ALLAH SWT mempermudahkan urusan kita,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.
Sebelum ini, dilaporkan Mahkamah Rayuan menetapkan 6 Januari ini untuk mendengar rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan Titah Adendum.
Mahkamah Tinggi sebelum ini menolak kebenaran semakan kehakiman dan notis usul yang difailkan oleh bekas perdana menteri itu untuk mengemukakan keterangan tambahan berkaitan Titah Adendum yang dikatakan dikeluarkan Agong terdahulu berhubung tahanan rumah.
Susulan itu, himpunan terbabit dilakukan sebagai bentuk sokongan daripada ahli UMNO terhadap Najib yang juga bekas presiden parti itu.