GEORGE TOWN - Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Mohd Sukki Othman kecewa dengan sambutan tahun baharu yang sering kali disambut dengan pelbagai aktiviti dan program bercirikan maksiat serta bercanggah dengan ajaran Islam.
Mohd Sukki berkata, bukan itu sahaja, sambutan yang dianjurkan juga didapati tidak menepati adab dan nilai masyarakat Melayu yang terkenal dengan akhlak dan budi pekerti baik.
Menurutnya, masyarakat Malaysia yang bertunjangkan kepada masyarakat Melayu Islam sudah semakin hilang identiti dan jati diri apabila semua dari barat dianggap sesuatu yang baik, lalu dilaksanakan dengan penuh bangga.
Kata beliau, budaya ‘hedonisme’ disanjung dengan begitu tinggi yang mana, semua adab dan kesopanan dalam masyarakat makin dilupa dan dipinggirkan.
"Sambutan tahun baharu Masihi biasanya dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti yang meruntun nafsu seperti perhimpunan besar-besaran muda-mudi dan remaja, kemudian diikuti dengan persembahan konsert serta pertunjukan bunga api yang amat mempesonakan.
"Tambahan pula, perhimpunan dan konsert itu melibatkan percampuran antara lelaki dan perempuan serta pengkid dan pondan tanpa garis pemisahan. Ia juga melibatkan pergaulan bebas seolah-olah jika tiada sambutan seperti itu, sambutan tahun baharu 'tidak wujud'.
"Sesuatu yang amat malang apabila masyarakat kita sanggup melakukan maksiat tanpa perasaan malu dan segan silu kepada ALLAH SWT," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai empat mangsa berusia lingkungan 20an hingga 40an yang meninggal dunia selepas menghadiri Konsert Pinkfish di Bandar Sunway, Subang Jaya, pada ambang tahun baharu disyaki terbabit dalam pengambilan dadah jenis ekstasi.
Selain empat mangsa terbabit, terdapat tiga lagi mangsa lain yang dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Mengulas lanjut, Mohd Sukki berkata, semua pihak termasuk ibu bapa, masyarakat, media massa dan kerajaan bertanggungjawab untuk berusaha mengembalikan 'adab’ dalam sambutan tahun baharu agar tidak dicemari dengan perbuatan maksiat yang merugikan serta yang menghilangkan keberkatan.
"Ibu bapa perlu mengawasi anak-anak mereka daripada terjebak dalam aktiviti yang sia-sia serta yang melalaikan. Pastikan anak-anak tidak berpeleseran dan berkeliaran pada waktu larut malam yang sudah tentu akan mengundang situasi yang amat membimbangkan.
"Media massa pula wajar memperhebatkan promosi terhadap sambutan tahun baharu yang bercirikan nilai Islam dan nilai murni dengan memperbanyakkan filem, drama, diskusi dan sebagainya yang bermanfaat ke arah melaksanakan kewajipan agama, serta memperkukuhkan jati diri bangsa dan negara," katanya.
Beliau berkata lagi, peranan pemerintah dan kerajaan juga amat diharapkan dalam usaha membentuk jati diri bangsa ke arah yang lebih beretika dan bermaruah.
"Kuasa dan amanah kepimpinan yang dipertanggungjawabkan kepada pemerintah perlu digunakan dengan sebaiknya ke arah mengembalikan adab dan nilai-nilai murni dalam masyarakat.
"Oleh itu, sambutan tahun baharu perlu diisi dengan sesuatu yang penuh dengan adab dan beretika agar masyarakat Malaysia menjadi masyarakat yang hebat, bermaruah serta mempunyai jati diri yang unggul dan sejati," katanya.
Mohd Sukki menambah, dalam Islam, menghadiri konsert hiburan perlu dilihat berdasarkan beberapa pertimbangan syariat.
"Hiburan tidak diharamkan secara mutlak, tetapi ada garis panduan yang perlu dipatuhi agar tidak bertentangan dengan ajaran dan syariat Islam.
"Ada beberapa pandangan dan nasihat bagi orang Islam yang ingin menghadiri konsert hiburan antaranya memastikan kandungan konsert tidak mempunyai unsur maksiat dan melalaikan, pergaulan bebas serta persembahan yang tidak menjaga adab," ujarnya.
Beliau turut menasihatkan umat Islam agar mengutamakan amalan yang mendekatkan diri kepada ALLAH SWT.
"Menghadiri konsert hiburan yang penuh dengan maksiat bukan sahaja boleh mengurangkan keimanan, tetapi juga mengundang kemurkaan ALLAH.
"Mengganti aktiviti malam tahun baharu dengan solat, zikir, dan muhasabah diri akan membawa lebih banyak keberkatan dalam hidup," katanya.