SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) mengumumkan baharu mengenai perkhidmatannya bermula 1 Januari lalu, berikutan kenaikan kos bekalan dan peralatan perubatan.
Berdasarkan laman sesawang PPUM, caj tersebut termasuk kenaikan bayaran perubatan dan pembedahan sebagai kadar baharu bagi fasa dua yang berkuat kuasa pada Rabu.
Jelasnya, bayaran perkhidmatan yang dikenakan adalah wad maya (virtual) sebanyak RM80; wad biasa (dewasa) RM300; wad biasa (pediatrik) RM270; wad kritikal (dewasa) RM500 dan wad kritikal (pediatrik) RM650.
"Kadar caj baharu itu selaras dengan usaha memperkasakan penyampaian perkhidmatan kepada para pesakit. Ia juga merangkumi caj prosedur, perawatan dan perkhidmatan.
"Semakan caj dilaksanakan kerana berlakunya perubahan kos terutama kepada bekalan guna hapus dan peralatan untuk caj sedia ada,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Sebelum ini, kadar caj baharu PPUM itu menyaksikan peningkatan kos temu janji dan perundingan daripada RM15 sehingga RM30 dikuatkuasakan secara berfasa sejak September 2024 lalu.
Menurut soalan lazim (FAQ) di laman sesawang PPUM, semua pihak yang berurusan dengannya akan dikenakan caj baharu melalui fasa satu bermula 1 September lalu.
"Caj berkenaan adalah lebih rendah daripada hospital swasta. Semakan semula caj tidak membelakangkan dasar atau perancangan kerajaan dan ia masih menyediakan perkhidmatan rawatan kepada rakyat seperti biasa di samping meraikan juga polisi kerajaan yang lain seperti kebajikan kakitangan awam serta menyediakan peluang pekerjaan.
"Bagi pesakit di bawah kategori B40 yang tidak berkemampuan, mereka boleh menggunakan kemudahan MySalam selain boleh rujuk kepada Unit Taksiran, Jabatan Kewangan PPUM dan Jabatan Kerja Sosial untuk dibantu sekiranya berkelayakan.
"Kemudahan sedia ada kekal dan pesakit akan diberikan pengecualian bayaran mengikut kelayakan masing-masing,” ujarnya.
Tambah PPUM, kali terakhir kadar caj rawatan pesakit dikaji semula adalah pada 2019 namun begitu, ia tidak menyeluruh.
Katanya, semakan caj rawatan pula melibatkan keseluruhan perkhidmatan di PPUM.
"Caj baharu ini tidak membabitkan bayaran ubat khas dan peralatan kerana ia dibekalkan di farmasi (PharmUMMC) serta mengikut harga pasaran.
"Aktiviti semakan semula caj ini akan dilaksanakan sekurang-kurangnya lima tahun sekali kecuali sekiranya terdapat perubahan kos signifikan kepada perkhidmatan yang ditawarkan kepada pesakit.
"Terdapat kemungkinan caj rawatan akan diturunkan sekiranya terdapat kos berkaitan didapati menurun pada masa akan datang,” katanya.