Jual biskut ganja RM50 sebekas

Iklan
Hussein (tiga dari kiri) menunjukkan biskut ganja yang dirampas polis susulan tangkapan lelaki di sebuah kondominium di Ampang, Selasa lalu.

SHAH ALAM - Polis membongkar aktiviti pengedaran ganja berupa biskut susulan tangkapan empat individu termasuk tiga beranak di sekitar Lembah Klang, Selasa lalu.

Dipercayai kegiatan memproses dan pembungkusan itu dilakukan suspek utama di sebuah kondominium di Ampang.

Iklan
Iklan
Hussein menunjukkan paparan gambar individu dan barang kes yang terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, tangkapan pertama pada jam 9.30 malam oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di Setia Alam berjaya menahan tiga individu iaitu sepasang suami isteri serta anak perempuannya ketika menaiki kereta jenis Proton Saga.

Katanya, pemeriksaan menemui dadah jenis ganja seberat kira-kira 316 gram.

Iklan

"Soal siasat kemudian membawa tangkapan seorang lelaki di sebuah kondominium di Ampang dengan rampasan ganja seberat 6.43 kilogram termasuk beberapa bekas biskut yang bercampur ganja.

"Siasatan awal mendapati 'biskut' ini dijual dengan harga RM50 bagi setiap bekas.

Iklan

"Kita percaya suspek lelaki ini merupakan dalang, manakala pemandu kereta ditahan bersama isteri dan anak disyaki transporter yang sedang dalam perjalanan untuk menghantar dadah kepada pembeli," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini pada Jumaat.

Hussein (tengah) menunjukkan ganja yang dirampas susulan tangkapan empat individu di Setia Alam dan Ampang, Selasa lalu.

Beliau berkata, nilai ganja berjumlah kira-kira RM21,000 itu dipercayai untuk pasaran sekitar Lembah Klang.

Tambahnya, siasatan masih dijalankan untuk mengetahui sama ada isteri dan anak suspek itu terlibat dalam kegiatan pengedaran atau sebaliknya.

Biskut ganja yang dijual dengan harga RM50 setiap bekas.

Menurut Hussein, dipercayai aktiviti penjualan yang aktif sejak sembilan bulan lalu itu dilakukan secara dalam talian kepada 'komuniti' yang dipercayai sahaja.

Sementara itu, dalam kes berlainan, seorang lelaki diberkas sepasukan BSJN IPD Klang Utara, Selasa lalu, sebelum membawa serbuan di dua rumah.

Antara rampasan dadah susulan serbuan dua rumah di Klang dan Setia Alam, Selasa lalu.

Jelasnya, serbuan rumah pertama di Klang menemui dadah jenis MDMA seberat 155 gram dan ketamin 0.59 gram, manakala serbuan rumah kedua di Setia Alam yang dijadikan sebagai mini makmal turut merampas dadah jenis ekstasi (5.3 kg), cecair syabu (2,240 mililiter), syabu (2.1 kg), heroin (1.19 kg) selain peralatan memproses dadah.

"Dadah bernilai RM1.06 juta itu dipercayai untuk pasaran di sekitar Lembah Klang," ujarnya.