TONGGAK Manchester United, Harry Maguire menyifatkan semangat kemenangan kembali semula dalam kalangan pemain The Red Devils selepas menewaskan Chelsea 2-0 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Stamford Bridge awal pagi tadi.
Menurut Maguire, tiga mata dibawa pulang dari laman lawan itu cukup penting bagi mengakhiri prestasi hambar dalam tiga perlawanan terakhir ketika tewas kepada Liverpool dan Burnley serta terikat tanpa jaringan menentang Wolverhampton Wanderers dalam perlawanan terakhir mereka sebelum ini.
"Secara jujur musim ini saya akui kami dikecewakan dengan prestasi tidak konsisten menyebabkan kami keciciran mata. Sebenarnya pemain Manchester United yang mengecewakan diri sendiri apabila gagal memberikan tekanan kepada lawan sebelum ini.
"Tapi pada perlawanan ini kami kembali bersemangat apabila mempamerkan aksi bertenaga kerana semua pemain mengetahui sejak awal lagi tiga mata dari Stamford Bridge adalah penting.
"Kemenangan ini juga menghidupkan kembali peluang kami mengakhiri saingan dalam kelompok empat terbaik musim ini," kata bekas pemain pertahanan Leicester City itu.
Pada perlawanan itu, dua jaringan
Anthony Martial dan Maguire secara tidak langsung meletakan kembali The Red Devils dalam pemburuan slot empat terbaik liga.
Kemenangan skuad bimbingan Ole Gunnar Solskjaer itu juga dibantu kegagalan anak buah Frank Lampard menterjemahkan setiap deretan peluang menjaringkan gol pada perlawanan itu.
Tambah malang dua jaringan The Blues menerusi Kurt Zouma dan Olivier Giroud dibatalkan video bantuan pengadil (VAR).
Kemenangan itu meletakkan The Red Devils pada kedudukan ketujuh Liga dengan 38 mata selepas mengharungi 26 perlawanan.
Sementara itu, Chelsea berada pada kedudukan keempat liga dengan 41 mata hasil dari 26 perlawanan.