KUALA LUMPUR - Polis mengesahkan dua warga asing yang dipercayai menyebar risalah agama Kristian di tempat awam di Desa Setapak, di sini, berada di dalam negara sejak sebelum sambutan Krismas.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, mereka datang ke Malaysia sebagai pelancong.
Iklan
Iklan
"Semakan mendapati lelaki berusia lingkungan 30-an itu merupakan warga Amerika Syarikat.
"Kes ini masih dalam siasatan dan kita telah merekod keterangan tiga individu iaitu seorang pengadu dan dua lelaki asing terbabit," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini pada Jumaat.
Terdahulu, tular satu video berdurasi 54 saat memaparkan tiga individu termasuk dua lelaki warga asing yang dirakam menyebarkan risalah kepada orang ramai di hadapan sebuah pasar raya di Desa Setapak, Isnin lalu.
Berikutan itu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail dilaporkan berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 298A, Kanun Keseksaan iaitu bagi kesalahan berkaitan sebarang perlakuan yang menyebabkan ketidakharmonian, perpecahan atau permusuhan, kebencian atau niat jahat atas alasan agama.
Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Hotline Polis KL di talian 03-21159999 atau datang ke balai polis berhampiran.