KUALA LUMPUR - Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) mengesahkan telah menjalankan siasatan berhubung isu zikir oleh sekumpulan individu di Tanah Perkuburan Islam (TPI) Taman Ibu kota, Setapak di sini pada 28 Disember tahun lalu.
Pengarahnya, Hanifuddin Roslan berkata, siasatan itu termasuklah mengambil keterangan pengadu dan menemubual waris Allahyarham serta pelaku terlibat.
Menurut beliau, pihaknya juga telah memanjangkan isu itu kepada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan untuk mendapatkan pandangan daripada aspek hukum syarak.
"Jawi akan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Sehubungan itu, katanya, Jawi menasihati masyarakat Islam khususnya supaya tidak melakukan amalan-amalan yang boleh mengundang kontroversi dalam kalangan masyarakat.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar memaklumkan Jawi selesai mengambil keterangan semua individu yang berhimpun dan melakukan zikir secara pelik serta kuat di tanah perkuburan terbabit.
Mohd Na'im berkata, satu laporan dihasilkan daripada keterangan itu dan telah diserahkan kepada Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan.
Pada 28 Disember, tular satu video berdurasi 23 saat memaparkan sekumpulan individu berzikir secara pelik dan kuat di TPI terbabit hingga mengundang kebimbangan masyarakat khususnya orang Islam.
Pada hari sama, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail mengesahkan pihaknya telah menerima satu laporan berhubung kejadian yang dipercayai berlaku kira-kira jam 10.05 pagi (27 Disember).