Pelabur kripto terima pulangan paling lumayan tahun lalu

Iklan
Mata wang kripto merekodkan semua kelas aset menerima pulangan paling besar kepada pelabur pada 2024 dengan nilai bitcoin melonjak dua kali ganda. Foto hiasan

MATA wang kripto merekodkan semua kelas aset menerima pulangan paling besar kepada pelabur pada 2024 dengan nilai bitcoin melonjak dua kali ganda.

BIMB Securities Research berkata, emas mencatatkan peningkatan kukuh sebanyak 26.2 peratus menunjukkan prestasi tahunan terbaik sejak 2010 dengan logam mendapat manfaat daripada permintaan pelaburan selamat, pemotongan kadar faedah dan pembelian daripada bank pusat.

Iklan
Iklan

"Saham global pula menyaksikan kenaikan sebanyak 11 peratus, sedikit rendah berbanding 13 peratus yang dicatatkan 2023, dengan Bursa Malaysia mencatat kenaikan 12.9 peratus menjadi antara pasaran paling cemerlang di Asia Tenggara.

"Komoditi dan bon pula mencatatkan kenaikan sederhana masing-masing 3.2 peratus dan 2.2 peratus," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Bagi indeks utama global pada 2024, BIMB Securities Research memaklumkan, NASDAQ mendahului dengan pulangan paling tinggi yang diikuti rapat oleh Taiwan dan Jepun.

Tambahnya, Bursa Malaysia mencatatkan pulangan positif sebanyak 12.9 peratus, mengatasi purata global dan meletakkan pasaran saham negara ini sebagai antara peserta utama di pasaran yang lebih luas.

Iklan

Pasaran saham Indonesia, JCI dan indeks Thailand, SET masing-masing mencatatkan pulangan negatif pada tahun lalu.

"Prestasi indeks utama dalam denominasi dolar Amerika Syarikat (AS) memberikan gambaran yang berbeza dan kami percaya ia menyediakan perbandingan lebih tepat dengan meneutralkan kesan turun naik kadar pertukaran mata wang asing.

"Indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyerlah dengan pulangan 15.5 peratus dalam dolar AS, menjadikannya pasaran terbaik di rantau Asia Tenggara, mengatasi Singapura, China, Jepun, India dan Eropah.

"Sebaliknya, Indonesia menghadapi tahun yang mencabar dengan penurunan 8.5 peratus, diikuti oleh Filipina pada 3.5 peratus dan Australia juga mencatatkan penurunan sebanyak 1.4 peratus," katanya.

Dalam pada itu, BIMB Securities Research turut menyasarkan FBM KLCI sebanyak 1,839 mata tahun ini, mewakili kenaikan 12 peratus tahun ke tahun.

"Menuju ke hadapan, Malaysia mempunyai banyak potensi. Permintaan pengguna dijangka kekal kukuh, disokong oleh peningkatan pendapatan boleh guna hasil kenaikan gaji (penjawat awam dan gaji minimum kepada RM1,700), kadar pengangguran yang rendah dan semakin baik, serta tahap hutang isi rumah yang sihat.

"Secara keseluruhannya, kami percaya Malaysia akan sekali lagi mencatatkan prestasi luar jangkaan terhadap pasaran global pada 2025," katanya.