PUTRAJAYA - Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mengesahkan menerima aduan terhadap Jabatan Imigresen (JIM) berhubung kelulusan Permohonan Memo Periksa Keluar (COM) tanpa pengetahuan atau kehadiran pengarah syarikat terlibat.
EAIC memaklumkan bahawa tindakan ini menyebabkan pembatalan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) pekerja di syarikat tersebut.
"Siasatan mendapati pegawai Imigresen yang terlibat telah cuai dan tidak bertanggungjawab kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan JIM dalam kelulusan permohonan COM.
"Permohonan COM itu diluluskan berdasarkan dokumen yang dikemukakan oleh pihak ketiga. Siasatan juga menunjukkan pemalsuan dokumen berkaitan permohonan COM, dan pegawai Imigresen yang terlibat cuai kerana menghilangkan dokumen asal permohonan tersebut,” menurut EAIC dalam kenyataan pada Jumaat.
Siasatan dijalankan berlandaskan aduan yang diterima mengikut subseksyen 27(4) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 (Akta 700).
Sehubungan itu, EAIC memutuskan untuk merujuk syor hukuman terhadap pegawai Imigresen yang terlibat kepada Pihak Berkuasa Tatatertib (PBT) JIM.
Selain itu, cadangan penambahbaikan kepada Sistem Imigresen Malaysia (Sistem myIMMs) telah dikemukakan kepada Ketua Pengarah JIM.
"EAIC juga mengesyorkan agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan untuk membolehkan penyiasatan lanjut dijalankan berhubung laporan polis yang dibuat oleh pengadu EAIC,” menurut kenyataan tersebut.
Dalam kenyataan berasingan, EAIC mengesahkan menerima aduan terhadap Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Kajang berhubung ketidakpatuhan terhadap SOP semasa menjalankan siasatan penjualan minyak pelincir tiruan jenis Mannol.
Siasatan EAIC mendapati ketidakpatuhan terhadap SOP Garis Panduan Pengendalian Aduan Cap Dagang Palsu oleh KPDN Cawangan Kajang, yang menyebabkan aduan tersebut tidak disiasat dengan sewajarnya.
"EAIC memutuskan untuk merujuk syor hukuman terhadap pegawai-pegawai yang terlibat kepada Pihak Berkuasa Tatatertib (PBT) KPDN,” menurut kenyataan itu.
Siasatan dijalankan berdasarkan aduan yang diterima mengikut subseksyen 27(4) Akta 700. - Bernama