KETUA Pegawai Eksekutif Enggang Management Services Sdn Bhd, Datuk Shah Redza Hussein dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Forest Fund (MFF) yang baharu berkuat kuasa pada Khamis.
MFF menerusi kenyataan berkata, pelantikan beliau itu menggantikan bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Jeffri Abdul Rasid yang telah menamatkan perkhidmatan pada Jun 2024 lalu.
Menurutnya, beliau pernah diberi mandat untuk mengurus dan mengoperasikan Rizab Harimau Diraja, Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Pahang yang merupakan rizab harimau pertama di Malaysia.
"Shah Redza juga akan menerajui atau mengetuai pembangunan dan penyampaian visi serta misi MFF khususnya dalam membangunkan instrumen kewangan inovatif bagi memelihara, memulihara, melindungi sekali gus menguruskan hutan secara berkekalan.
"Beliau akan turut memimpin dengan penekanan pada matlamat jangka panjang, pertumbuhan atau keuntungan dan menguruskan hal ehwal serta operasi harian syarikat untuk melaksanakan dasar strategi yang telah dipersetujui oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah MFF,” kata kenyataan itu pada Jumaat.
Dalam pada itu, Pengerusi dan Ahli Lembaga Pemegang Amanahnya, Dr Yasmin Rasyid berkata, MFF kini berada pada tahap yang progresif dengan fokus kepada pelaksanaan atau pengembangan ‘Forest Conservation Certificate’ dan juga pembangunan ‘Forest Carbon Offset’ daripada segi garis panduan peraturan serta pembangunan metodologi terpilih.
Jelas Yasmin, dengan pelantikan tersebut, beliau yakin Shah Redza akan menerajui dan memacu MFF sebagai sebuah agensi penasihat bersepadu kebangsaan serta penyedia penyelesaian kewangan untuk sektor perhutanan lestari.
Shah Redza mempunyai pengalaman lebih dari 30 tahun dalam bidang konservasi dan perlindungan alam sekitar perkhidmatan korporat, serta sektor teknologi.
Antara jawatan yang beliau pernah berkhidmat adalah Pengarah Dana dan Pemasaran World Wildlife Fund (WWF) Malaysia, Pengarah Eksekutif Malaysia Nature Society (MNS) serta Pengarah Project Khas ‘Earth and Sea Observation System (EASOS)’, sebuah projek di bawah United Kingdom (UK) Space Agency.
Shah Redza juga merupakan mantan Pengarah Perbadanan Taman Negeri Perak iaitu Taman Negeri Royal Belum yang merupakan landskap penting bagi Harimau Malaya dan berjaya menurunkan peratusan kes pemburuan haram.
Kejayaannya itu sekali gus menjadikan tapak tersebut sebagai yang pertama di Asia Tenggara dan menerima akreditasi global di bawah program Conservation Assured Tiger Standards (CAT|S).