Jom orang Perlis meriahkan Jelajah Sinar Untuk Rakyat

Iklan
Pegawai protokol (kiri) meninjau raptai pengurniaan Bakul Rezeki yang akan disempurnakan Raja Muda Perlis di perkarangan Masjid Jamek Beseri pada Sabtu.

KANGAR - Rakyat Perlis dijemput memeriahkan program Jelajah Sinar Untuk Rakyat yang julung kali diadakan di negeri itu bermula esok.

Penyelaras program, Othman Mamat berkata, acara pembuka tirai 2025 itu menawarkan pelbagai aktiviti kekeluargaan dan santai untuk seisi keluarga, selain beberapa acara rasmi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, program jelajah berkonsepkan tanggungjawab sosial korporat (CSR) selama dua hari bermula pada Sabtu sehingga Ahad itu dipenuhi pelbagai acara sampingan bermula 7 pagi hingga 10.30 malam.

"Jelajah Sinar Untuk Rakyat bermula di negeri paling utara Semenanjung sebagai pembuka program. Majlis perasmian akan disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Jemaah Masjid Jamek Beseri bergotong-royong membuat persediaan program Jelajah Sinar Untuk Rakyat.

Iklan

"Program anjuran Sinar Harian yang diadakan di Masjid Jamek Beseri dan Institut Kemahiran Mara (IKM) Beseri itu dipenuhi pelbagai aktiviti menarik antaranya pertunjukan perlawanan bola sepak kain pelikat, tendangan penalti dan pertandingan busking.

"Turut dibuka reruai aktiviti untuk kanak- kanak, kenduri kampung, penyerahan bantuan asnaf dan ceramah motivasi kepada pelajar dengan kerjasama Yayasan Bank Rakyat (YBR),” katanya.

Iklan

Othman berkata, pada Sabtu diadakan gotong-royong melapah daging lembu di perkarangan Masjid Jamek Beseri seawal 7 pagi sebagai persiapan memasak untuk Kenduri Sekampung.

"Acara dimulakan dengan keberangkatan Raja Muda Perlis yang akan mengetuai kayuhan basikal dan berkunjung ke rumah keluarga pesakit terlantar di sekitar mukim Beseri.

"Turut diadakan penyampaian sumbangan bakul rezeki kepada keluarga miskin, anak yatim dan ibu tunggal,” katanya.

Jemaah Masjid Jamek Beseri bersama-sama mengangkat dan menyusun Bakul Rezeki yang akan disumbangkan kepada asnaf.

Menurutnya, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut berkenan melakukan pelepasan (flag-off) bagi acara Himpunan Kenderaan Klasik Malaysia di perkarangan Masjid Jamek Beseri.

"Pada hari kedua program, diadakan ceramah motivasi untuk pelajar anak-anak keluarga miskin dan anak yatim di Dewan Besar Institut Kemahiran Mara (IKM) Beseri bermula 9 pagi.

"Program tersebut merupakan penutup acara Jelajah Sinar Untuk Rakyat di Perlis.

"Sinar Harian berterima kasih kepada Yayasan Bank Rakyat (YBR) yang menjadi penaja utama serta Jawatankuasa Kariah Masjid Jamek Beseri yang sudi menjadi tuan rumah program ini,” katanya.

Othman berharap penduduk yang tinggal berdekatan boleh berkunjung ke dua lokasi berkenaan untuk merasai sendiri kemeriahan program Jelajah Sinar Untuk Rakyat.