RINGGIT ditutup rendah berbanding dolar AS pada Jumaat berikutan data pekerjaan Amerika Syarikat (AS) yang kukuh mengekalkan mata wang AS itu pada paras tertinggi dalam tempoh hampir dua tahun.
Pada jam 6 petang, ringgit merosot kepada 4.4975/5030 berbanding dolar AS daripada 4.4760/4810 semalam.
Tuntutan pengangguran mingguan AS minggu lepas menurun 9,000 kepada 211,000 - paras terendah dalam tempoh lapan bulan - menunjukkan daya tahan pasaran tenaga kerja AS.
Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors, Mohd Sedek Jantan memberitahu Bernama bahawa data pekerjaan AS yang kukuh telah meningkatkan jangkaan bahawa Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS akan mengekalkan kadar faedah pada mesyuaratnya yang akan datang pada 28 hingga 29 Januari ini.
Selain itu, katanya kebimbangan mengenai tarif dan hala tuju dasar di bawah pentadbiran Trump yang akan datang telah menyebabkan pasaran tidak menentu, mendorong hasil Perbendaharaan AS hampir 100 mata asas lebih tinggi daripada paras terendah pada September.
Rakan Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, dolar AS memulakan bulan ini dengan mencatatkan kukuh, didorong terutamanya oleh kebimbangan mengenai tarif perdagangan.
"Donald Trump dijangka menggunakan kuasa eksekutifnya untuk mengenakan tarif tanpa melibatkan Kongres, dengan langkah segera dijangkakan terhadap China, Mexico, Kanada dan kemungkinan Vietnam bermula dari hari pertama.
"Tindakan ini dijangka memberi impak bukan sahaja kepada negara-negara yang disasarkan tetapi juga kepada pemain serantau lain seperti Malaysia,” katanya kepada Bernama.
Oleh itu, katanya pengeksport tempatan mungkin menangguhkan jualan dolar AS, menjangkakan pulangan yang lebih tinggi berikutan permintaan institusi untuk dolar AS yang meningkat menjelang pelantikan Trump sebagai presiden AS.
Ringgit ditutup kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama lain.
Ia merosot berbanding yen Jepun kepada 2.8606/8643 daripada 2.8546/8580 semalam, bagaimanapun meningkat berbanding pound kepada 5.5800/5869 daripada 5.5869/5932 sebelum ini dan mengukuh berbanding euro kepada 4.6288/6345 daripada 4.6336/6387.
Mata wang tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.
Ia susut berbanding baht Thailand kepada 13.0540/0753 daripada 13.0530/0744 sebelum ini dan rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 277.6/278.1 daripada 276.2/276.7 sebelumnya.
Ringgit mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.2828/2871 daripada 3.2859/2898 dan kekal mendatar berbanding peso Filipina kepada 7.73/7.74 daripada 7.73/7.75 pada Khamis. - Bernama