SHAH ALAM - Kementerian Ekonomi akan menentukan pengguna yang layak menerima subsidi dalam perlaksanaan penyasaran semula subsidi RON95 kelak.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, dua peringkat penyasaran semula subsidi RON95 akan dilaksanakan iaitu 'front-end' membabitkan operasi di stesen minyak dan 'back-end' merangkumi penentuan kelayakan mereka yang tergolong dalam 85 peratus layak mendapat subsidi.
Menurutnya, urusan 'back-end' akan diuruskan kementerian itu, di mana satu Mesyuarat Jemaah Menteri diangkat ke Kabinet untuk mendapat kelulusan sebelum pelaksanaan penyasaran subsidi RON95 dapat direalisasikan.
"Kalau ikut perbincangan Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan, pelaksanaan rasionalisasi subsidi RON95 membabitkan dua peringkat.
"Penentuan kelayakan akan diuruskan Kementerian Ekonomi. Kita akan angkat ke Kabinet untuk mendapat kelulusan," katanya pada sesi interaksi bersama warga Kementerian Ekonomi bersempena perhimpunan bulanan kementerian itu di Putrajaya pada Jumaat.
Rafizi menjelaskan, kertas Mesyuarat Jemaah Menteri berkenaan turut membabitkan cadangan untuk membuka semula Sistem Pangkalan Data Utama (PADU).
"Ia turut merangkumi peralihan pengkelasan daripada B40, M40 dan T20 kepada pendekatan pendapatan boleh guna bersih dan sudah tentu pengoperasian itu akan membabitkan PADU.
"Keputusan lain seperti membuka semula PADU dan sebagainya.. akan diputuskan di peringkat Kabinet dalam beberapa minggu akan datang. Daripada itu, bermulalah pengoperasian PADU dalam 'use case' yang pertama iaitu penyasaran semula subsidi," katanya.
Pada pembentangan Belanjawan 2025, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan bercadang melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan 2025.
Penjimatan sebanyak RM8 bilion hasil 40 peratus subsidi petrol RON95 yang dinikmati warga asing dan golongan maha kaya akan dimanfaatkan kepada kemudahan pendidikan, kesihatan serta pengangkutan awam.
Sebanyak 85 peratus rakyat bagaimanapun tidak akan terkesan dengan langkah tersebut.
November lalu Rafizi berkata, kerajaan melihat kaedah dua peringkat di stesen minyak merupakan kaedah terbaik, dan pelaksanaannya akan terus diperhalusi bagi meminimakan risiko operasi di stesen-stesen minyak apabila penyasaran subsidi itu bermula pada pertengahan 2025.
Sementara itu, dalam sesi sama, Rafizi berkata, ekonomi negara bagi tahun 2024 menunjukkan prestasi paling baik dengan pertumbuhan melebihi 5 peratus menggambarkan pemulihan yang cukup baik buat negara.
Sehubungan itu, beliau optimis bahawa prestasi ekonomi negara akan terus di landasan tepat sekiranya setiap perkara yang dirancang berjalan lancar.
"Kementerian Ekonomi ada beban lebih besar daripada kementerian lain, kita ada tanggungjawab untuk memastikan kesenjangan miskin kaya dalam masyarakat tidak menjejaskan kemakmuran masyarakat.
"Bila kesenjangan terlalu besar, orang akan marah...itu yang berlaku di mana-mana negara dunia terutamanya Eropah. Kalau berlaku, agak mencabar untuk kembali ke prestasi ekonomi yang sepatutnya,"katanya.
-END-