KOTA KINABALU - Pereka grafik dan juga aktivis, Fahmi Reza harus dihalang daripada memasuki Sabah susulan tindakan beliau yang didakwa menghasut menerusi poster yang direkanya berkaitan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.
Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) Datuk Zulkarnain Mahdar mahu supaya kerajaan Sabah menghalang mana-mana individu yang cuba membuat kekacauan di negeri ini termasuk aktivis tersebut.
"Tetapi mana-mana individu yang cuba melakukan huru-hara di sini, saya minta kerajaan negeri halang mereka masuk termasuk Fahmi Reza," katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, di sini pada Jumaat.
Beliau sebelum itu hadir ke IPD Kota Kinabalu untuk membuat laporan polis berkaitan fitnah dan hasutan berkaitan sekumpulan pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) termasuk alumni yang berhimpun pada 31 Disember lalu.
Zulkarnain yang juga aktivis politik turut mengingatkan bahawa Sabah mempunyai pelbagai rumpun etnik yang tiada masalah isu perkauman dan agama.
"Harus diingat Sabah ini ada hampir 100 etnik, kita hidup bersama tiada masalah hidup dalam 'satu rumah' Kristian dan Islam kita bersama. Ini bukan soal Tun (Musa) tetapi ini soal penghinaan terhadap orang Sabah yang dibuat oleh orang Semenanjung.
"Sebab itu, apa saja cara yang tidak betul, apa saja kaedah yang tidak betul sebagai contoh karikatur ini, dia menghina orang Sabah, orang Sabah sakit hati.
"Keduanya dia menghina, Tun Musa mempunyai banyak jasa di Sabah ni dan ketiganya dia ini bakal Tuan Yang Terutama (TYT) Sabah yang telah diamanahkan oleh Yang di-Pertuan Agung.
"Yang di-Pertuan Agung telah meneliti semua termasuk kes mahkamahnya. Jadi perbuatan Fahmi Reza ini sangat tidak wajar untuk masyarakat Sabah," katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai laporan polis yang dibuat, beliau memaklumkan laporan itu menjurus kepada satu video yang di muat naik dan tular pada Jumaat.
"Kita sedia maklum Tun Musa telah mengangkat sumpah pada 1 Januari dan kenyataan tersebut telah dimuat naik selepas itu dan tidak silap saya tentang satu tohmahan jahat, fitnah jahat, kononnya Tun Musa ini sebagai ahli korupsi.
"Yang keduanya, (dakwaan) Tun Musa ini bertanggungjawab menggondolkan kayu balak di Sabah, kita nampak ia tular sekarang di TikTok, di Facebook.
"Jadi kita ingin bertanya semula soalan ini kepada kumpulan ini yang mengelarkan diri mereka sebagai pelajar mahasiswa UMS Gempur Rasuah, mereka tuduh Tun Musa menggondolkan balak di Sabah, apa buktinya?
"Sebab mengikut rekod, jutaan hektar telah diwartakan sebagai hutan simpan kekal semasa Tun Musa menjadi Ketua Menteri dn hampir 700,000 hektar tanah telah dipulihkan semasa Tun Musa menjadi ketua menteri di mana beliau sebenarnya telah mendapat pengiktirafan daripada Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF)," katanya.