KOTA KINABALU - Kepimpinan tertinggi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah masing-masing 'mengunci mulut' mengenai perincian pertemuan mereka dengan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor yang berlangsung di kediaman Sri Gaya, di sini pada Jumaat.
Ketua Penerangan PKR Sabah, Razeef Rakimin berkata, pertemuan itu hanya melibatkan perbincangan biasa antara pimpinan MPN Sabah bersama Ketua Menteri.
"Tiada, minum-minum teh saja tadi, tunggulah sidang media Insya-ALLAH esok. Tiada juga, perbincangan biasa saja.
"Bagi kami bincang dulu nanti apa-apa kita akan responslah," katanya ketika ditemui pemberita di luar kediaman Ketua Menteri di Sri Gaya, di sini, pada Jumaat.
Ditanya lanjut adakah ia melibatkan isu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah susulan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang atau kedudukan PKR dalam kerajaan, Razeef menafikan ia ada kaitan dengan kedua-dua isu berkenaan.
"Kita lebih bercerita soal apa yang kita perlu lakukan untuk akar umbi, rakyat. Tiada bincang isu yang terlalu panas.
"Pertemuan satu jam lebih begitu... (panjang) cuma bila teh itu sedap macam tidak rasa masa," katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi MPN Sabah, Datuk Peto Galim turut memaklumkan pertemuan itu hanyalah kunjungan terhadap Ketua Menteri.
"Kunjungan biasa saja, cuma kunjungan dengan Ketua Menteri sebab Pengerusi MPN baru balik dari umrah jadi dia ada idea-idea yang mungkin bagus tetapi tiada jugalah dia cakap tadi.
"Perjumpaan biasa, perjumpaan mesra tiada apa-apa berkaitan kerusi dan perbalahan idea. Lagipun Ketua Menteri akan ke umrah pada 6 Januari kita bagi semangat dan kami bagi idea," katanya.
Ditanya kenapa perbincangan itu mengambil masa yang lama, Peto yang juga Pengarah Jentera Pilihan Raya PKR Sabah menjelaskan bahawa mereka terpaksa menunggu masa untuk bertemu dengan Ketua Menteri.
"Kami menunggu lama, sebab ramai yang mahu jumpa (ketua menteri). Pertemuan tadi melibatkan Pengerusi MPN (Datuk Mustapha Sakmud), saya dan beberapa orang. Datuk Seri Christina Lew sepatutnya datang tapi tiada," katanya.