KUALA LUMPUR - Orang ramai dinasihatkan agar tidak menyertai sebarang perhimpunan dan perlu menghormati kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong sudah termaktub dalam Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.
"Polis menjunjung hormat dan menyusul titah kenyataan Yang di-Pertuan Agong berhubung kuasa prerogatif baginda.
"Perkara itu jelas memandu semua pihak yang berhasrat untuk mendapatkan pengampunan perlu mengemukakan permohonan kepada Lembaga Pengampunan dan bukannya melalui perhimpunan atau apa jua saluran yang tidak mengikut undang-undang," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, PDRM menggesa supaya orang ramai tidak menyertai apa jua perhimpunan yang dianjurkan oleh mana-mana pihak.
Jelasnya, ini demi menghormati titah kenyataan Yang di-Pertuan Agong dan menjaga keselamatan serta ketenteraman awam.
Sehubungan itu, Razarudin menggesa semua rakyat untuk sentiasa mendukung prinsip Rukun Negara khususnya kedaulatan undang-undang serta kesopanan dan kesusilaan yang merupakan pancang kepada kemakmuran dan keharmonian negara.
Sebelum ini, tular memo Pas akan mengadakan himpunan Solidariti Bersama Najib Razak Menuntut Keadilan pada 6 Januari ini.
Berdasarkan memo itu, himpunan akan diadakan di Mahkamah Rayuan, Istana Kehakiman Putrajaya, pada jam 9 pagi.
Sinar Harian pada Selasa melaporkan Pemuda Pas Kelantan menegaskan solidariti terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah perjuangan parti dalam menuntut hak keadilan yang sama rata terhadap semua pihak dan bukannya untuk meraih manfaat politik.
Mahkamah Rayuan menetapkan Isnin ini untuk mendengar rayuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan Titah Adendum.
Mahkamah Tinggi sebelum ini menolak kebenaran semakan kehakiman dan notis usul yang difailkan oleh bekas perdana menteri itu untuk mengemukakan keterangan tambahan berkaitan Titah Adendum yang dikatakan dikeluarkan Agong terdahulu berhubung tahanan rumah.