GERIK - Wanita UMNO Perak akan menghantar ahlinya untuk bersama-sama berhimpun menyatakan sokongan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 6 Januari nanti.
Ketua Wanita UMNO Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, dianggarkan tidak kurang 500 orang ahli Wanita UMNO negeri akan menyertai himpunan tersebut.
"Wanita UMNO Negeri Perak kita akan hantar beberapa bas yang akan pergi melalui bahagian-bahagian. Ada yang kita yang kita gerakkan secara kenderaan persendirian.
"Anggaran lebih kurang setakat ini lebih 500 orang," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Penyerahan Bakul Makanan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Prihatin, Skuad Ihsan Madani di Dewan Orang Ramai Kampung Plang di sini pada Jumaat.
Sementara itu Salbiah menyifatkan kesediaan beberapa pihak mahu turut sama berhimpun demi Najib termasuk Pas sesuatu yang positif.
Menurutnya, selama ini parti pembangkang itu menyatakan bahawa apa yang dilakukan Najib adalah salah tetapi dengan sokongan yang akan diberikan itu membuktikan sebaliknya.
"Kalau dari segi memberi sokongan tanda sokongan kepada Datuk Seri Najib dah tentulah satu benda yang bagus tapi agenda di sebaliknya itu kita tidak tahu.
"Kita tak dapat membaca niat yang dibuat oleh Pas saya lihat dari sudut positif seberapa ramai orang yang hadir itu tanda sayangnya rakyat kepada Datuk Seri Najib tanpa mengira fahaman politik," katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temengor.
Sebelum ini, dilaporkan Mahkamah Rayuan menetapkan 6 Januari ini untuk mendengar rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan Titah Adendum.
Mahkamah Tinggi terdahulu menolak kebenaran semakan kehakiman dan notis usul yang difailkan oleh bekas perdana menteri itu untuk mengemukakan keterangan tambahan berkaitan Titah Adendum yang dikatakan dikeluarkan Agong terdahulu berhubung tahanan rumah.
Susulan itu, himpunan terbabit dilakukan sebagai bentuk sokongan daripada ahli UMNO terhadap Najib yang juga bekas presiden parti itu.