KLUANG - Seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan melibatkan empat kenderaan di Kilometer (KM) 59, Jalan Kota Tinggi-Kluang, pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kemalangan kira-kira jam 8 pagi itu melibatkan sebuah motosikal jenis Yamaha NVX dengan dua kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza dan sebuah kereta jenis Proton Saga FL.
Menurutnya, siasatan mendapati motosikal Yamaha NVX ditunggang seorang lelaki warga tempatan berusia 24 tahun dalam perjalanan dari Kluang menghala ke Felda Ulu Penggeli.
"Ketika tiba di lokasi, motosikal terbabit telah memotong Perodua Alza dipandu seorang lelaki warga tempatan berusia 40 tahun yang berada di laluan sama dan sedang menunggu giliran untuk membelok ke kanan.
"Ketika motosikal terbabit sedang membelok ke kanan, sebuah lagi kereta jenis Perodua Alza datang dari arah Kota Tinggi menghala ke Kluang dipandu seorang lelaki berusia 38 tahun, melanggar motosikal berkenaan," katanya.
Beliau berkata, akibat perlanggaran itu, penunggang motosikal telah tercampak ke atas kereta Perodua Alza yang sedang menunggu di persimpangan jalan sebelum terjatuh di lorong kiri jalan menghala ke Kota Tinggi.
"Pada masa sama sebuah kereta jenis Proton Saga FL dipandu lelaki warga tempatan berusia 21 tahun yang berada di lorong kiri telah melanggar penunggang motosikal terbabit.
"Akibatnya, penunggang motosikal tersebut mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.
Tambah beliau, ketiga-tiga pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kemalangan ini boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Kluang melalui talian telefon 07-7784222, 07-7784256; hotline 07-7766822 atau 014-365682.
"Polis menasihati pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati dan bertimbang rasa di atas jalan raya supaya tidak berlaku kejadian tidak diingini," katanya.